Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 11 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Bantuan kebajikan bulanan seperti Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Elaun OKU dan Bantuan Warga Emas disasarkan untuk disalurkan sebelum atau pada 10 haribulan setiap bulan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat , Datuk Seri Nancy Syukri berkata, komitmen itu diteruskan walaupun terdapat sebilangan kecil penerima yang masih menerima bantuan lewat ekoran kekangan sistem lama yang telah mencapai had keupayaannya.

“JKM menyasarkan bantuan disalur tidak lewat daripada 10 haribulan setiap bulan.

“Namun kita akui ada peratusan kecil penerima yang menerimanya melebihi tarikh sasaran kerana sistem sedia ada memerlukan penambahbaikan menyeluruh,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, satu sistem baharu sedang dibangunkan dan dijangka beroperasi pada awal 2027 bagi memastikan proses penyaluran bantuan lebih cepat dan stabil.

Setakat ini, semua pembayaran dibuat secara pindahan dana elektronik terus ke akaun bank penerima.

Dalam perkembangan lain, Nancy berkata kerajaan turut menyediakan pelbagai bantuan untuk keluarga miskin bandar termasuk program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) serta program pemerkasaan di bawah JKM seperti Two-Years Exit Program (2YEP) dan PT-MINDA bagi membantu penerima berdikari.

Beliau berkata, Program Pembangunan Komuniti (PPK) juga dilaksanakan di kawasan PPR untuk memperkukuh sokongan sosial dan pembangunan komuniti setempat.

“Bagi ibu tunggal, pelbagai inisiatif dilaksana melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) termasuk latihan keusahawanan, kursus kemahiran dan bimbingan kewangan melalui program seperti KIRANA serta penyediaan pusat aktiviti Laman Wanita (LaWa).

“Program KASIH Ibu Tunggal (PROKIT) pula telah dijenamakan semula sebagai KASIHNITA bermula tahun ini dengan modul meliputi kemahiran perundangan, pengurusan kewangan dan pembangunan potensi,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast