KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mendakwa mengesan hampir 50 kejadian yang boleh dinilai sebagai kesalahan pilihan raya sepanjang kempen Pillihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.
Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan berkata, sebahagian besar kesalahan yang direkodkan melibatkan penjamuan, pemberian hadiah dan barangan.
Katanya, ia termasuk bakul makanan, barangan dapur dan bentuk pemberian lain seperti program isi minyak motor percuma yang jelas digunakan untuk mempengaruhi undi pengundi secara rasuah dan penyogokan.
Menurut beliau, walaupun sering dibalut sebagai ‘bantuan’ atau ‘inisiatif kebajikan’, pemberian seperti itu semasa tempoh kempen adalah satu bentuk tindakan yang melunturkan integriti pilihan raya.
“Lebih teruk, Pemantau Bersih telah melaporkan banyak kejadian di mana jentera dan program Kerajaan Persekutuan dan negeri dimanfaatkan bagi tujuan politik.
“Ini termasuk pengagihan bantuan oleh agensi kerajaan, penyerahan geran tanah kepada rakyat oleh calon-calon daripada parti kerajaan negeri, pengumuman peruntukan dan penggunaan program rasmi kerajaan untuk menonjolkan calon tertentu.
“Tindakan ini bukan sahaja memberi kelebihan tidak adil kepada pihak pemerintah, tetapi turut mengaburkan garisan penting antara urusan kerajaan dan kempen parti,” katanya.
Selain itu, tambahnya, Pemantau Bersih juga menerima beberapa laporan berkenaan cubaan membeli undi secara langsung, sama ada dalam bentuk wang tunai atau tawaran imbuhan tertentu sebagai balasan kepada sokongan politik.
Ujarnya, amalan seperti itu adalah pelanggaran serius undang-undang pilihan raya dan menghina maruah pengundi yang berhak membuat pilihan secara bebas tanpa sogokan.
“Bersih menegaskan bahawa politik wang dan penyalahgunaan sumber kerajaan mesti dibanteras dengan tegas.
“Kerajaan perlu meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya segera, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus diberikan kuasa kompaun untuk mengambil tindakan segera terhadap pelaku politik wang,” katanya.
Dalam masa sama, Bersih turut memohon pengundi Sabah tidak termakan dengan slogan ‘duit terima tetapi tidak semestinya undi pihak yang memberi’.
Ujarnya, rakyat Sabah perlu mengubah budaya politik itu dengan menolak 100 peratus politik wang dan salah guna kuasa dalam pilihan raya.
“Sabah tidak boleh lagi membiarkan duit dan habuan sementara mengaburi pengundi, kerana masa depan politik negeri bergantung kepada pemimpin yang bertanggungjawab dan mampu memastikan kesejahteraan jangka panjang rakyat.
“Politik yang hanya melihat undi sebagai transaksi untuk mendapatkan habuan tetapi gagal dalam tugasan hakiki akan terus merosakkan impian rakyat Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette
















