KUALA LUMPUR – DAP menegaskan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mesti dibuat tanpa rasa gentar, pilih kasih atau ragu-ragu.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin berkata, DAP menyambut baik pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjelaskan SPRM mempunyai kebebasan penuh untuk menyiasat Shamsul Iskandar secara bebas dan tanpa sebarang campur tangan.
Menurutnya, DAP berpendirian sebarang dakwaan salah laku khususnya melibatkan pegawai awam, mesti ditangani dengan penuh ketegasan.
“Skandal seperti ini bukan sahaja menjejaskan integriti individu terbabit, malah turut berisiko mencemarkan kredibiliti Kerajaan Perpaduan dan komitmennya terhadap tadbir urus yang bersih, telus dan berintegriti.
“DAP konsisten berpendirian kerajaan yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat mesti kekal bersih dan tidak bertolak ansur terhadap rasuah dalam apa jua bentuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan menyiasat segera tohmahan pemberian rasuah seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei kepada Shamsul Iskandar.
Menurut beliau, SPRM juga akan memanggil Albert dan Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.
Semalam media melaporkan pendedahan Albert yang antara lain mendakwa telah memberikan RM629,000 kepada Shamsul Iskandar atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
Shamsul Iskandar semalam turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri kerana mendakwa ada pihak yang cuba menyerangnya dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan Madani.
Sementara itu, Anwar dalam kenyataan hari ini menerima peletakan jawatan Shamsul Iskandar dan menegaskan SPRM bebas melakukan siasatan segera tanpa campur tangan mana-mana pihak. – MalaysiaGazette

















Drama… SPRM belum siasat lg dah buat kenyataan, ni semua tohmahan? Azam Baki buat lawak bodoh