KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh ditegur kerana menggunakan ungkapan ‘PKR sakau’ ketika berbahas pada peringkat jawatankuasa Belanjawan 2026 untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Kekecohan bermula apabila Che Mohamad Zulkifly mengaitkan parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan dakwaan rasuah sebelum menyebut ‘sakau-sakau’ ketika menyentuh integriti parti tersebut.
Beberapa ahli pembangkang menyokong Che Mohamad Zulkifly, namun Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari bangkit membantah kenyataan tersebut.
Melihat keadaan mula tegang, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor menghentikan ucapan Che Mohamad Zulkifly dan mengarahkan beliau menarik balik kenyataannya.
“Yang Berhormat Besut, setelah menimbangkan apa yang dinyatakan, saya perintahkan perkataan itu ditarik balik,” ujar Ramli.
Beliau seterusnya merujuk Peraturan Mesyuarat 36(6) yang melarang mana-mana Ahli Dewan daripada mengeluarkan tuduhan jahat atau sangkaan buruk terhadap mana-mana ahli.
Che Mohamad Zulkifly cuba mempertahankan kenyataannya dengan menyatakan bahawa tuduhan itu ditujukan kepada parti, bukan individu namun ia ditolak.
“Walaupun disebut parti politik, parti itu mengandungi ahli-ahli yang berada dalam Dewan ini. Maka ia tetap tertakluk di bawah 36(6),” jelas Ramli.
Keadaan bertambah panas apabila beberapa Ahli Parlimen bangun serentak untuk mencelah, memaksa Ramli memberi amaran untuk tindakan disiplin.
Selepas beberapa minit pertikaman lidah, Che Mohamad Zulkifly menarik balik kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette
















