Lokasi kedai pakaian konsep pelbagai jenama yang menjadi tempat sepasang suami isteri melakukan jenayah curi sebelum diberkas polis, Isnin lalu.

MELAKA – Perbuatan keji pasangan suami isteri mencuri pakaian di tiga cawangan kedai pakaian konsep pelbagai jenama di sekitar negeri ini akhirnya tumpas apabila diberkas polis, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 47 dan 44 tahun itu ditahan polis pada jam 1.30 pagi Isnin lalu di kawasan Durian Tunggal.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan polis menerima laporan pada 23 November lalu daripada pihak pengurusan kedai fesyen jenama itu menyedari kehilangan pelbagai jenis pakaian dari tiga premisnya di sekitar kawasan berkenaan.

“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki dan seorang wanita memasuki premis sebelum melarikan pakaian yang dicuri menggunakan sebuah Toyota Altis berwarna kelabu.

“Tindakan pantas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah membawa kepada penahanan suspek pasangan suami isteri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Christopher Patit

Menurutnya, susulan tangkapan itu, polis turut merampas semula pakaian dipercayai dicuri serta menyita kenderaan yang digunakan ketika kejadian.

“Semakan juga mendapati pasangan tersebut tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes kecurian membabitkan premis berkenaan antara 20 hingga 23 November lalu.

“Kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga esok November telah dibenarkan untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast