NIBONG TEBAL – Seorang pekerja warga Nepal maut akibat dihempap pintu pagar sebuah asrama pekerja di Jalan Perusahaan, Kawasan Perindustrian Valdor, Sungai Jawi, di sini, hari ini.
Mangsa, Bhujel Ram, 37, ditemui tidak sedarkan diri kira-kira jam 4.40 pagi selepas pintu pagar premis dianggarkan seberat 50 kilogram itu menghempap keseluruhan badannya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.43 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap tiba 12 minit kemudian.
“Berdasarkan makluman pengawal premis dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mangsa dihempap ketika hendak membuka sendiri pagar tersebut semasa pengawal keselamatan dikatakan tiada di tempat itu kerana membuat rondaan di lokasi lain sekitar dalam premis.
“Susulan itu, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja-kerja penyelamatan dengan mengalihkan pintu pagar tersebut.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya hari ini.
Tambah beliau, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya 6.16 pagi. – MalaysiaGazette















