KUALA LUMPUR – SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat segera tohmahan pemberian rasuah seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM juga akan memanggil Albert Tei dan Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.
“Selain itu, SPRM juga akan memanggil semua pihak-pihak yang terlibat bagi tujuan mengumpul bukti-bukti yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azam juga berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu ini dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan bagi mengumpul keterangan serta bukti berkaitan tohmahan ini.
Artikel berkaitan:
- Shamsul Iskandar letak jawatan Setiausaha Politik Kanan PM
- PN Gesa SPRM Siasat Susulan Peletakan Jawatan Shamsul Iskandar #MGFlash
- PM Beri Jaminan SPRM Bebas Siasat Shamsul Iskandar #MGFlash
Semalam media melaporkan pendedahan Albert Tei yang antara lain mendakwa telah memberikan RM629,000 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan PMX itu atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
Turut didedahkan tangkap layar perbualan menerusi aplikasi WhatsApp serta gambar-gambar bagi menyokong dakwaannya itu.
Shamsul Iskandar semalam mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri kerana mendakwa apa pihak yang cuba menyerangnya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan hari ini menerima peletakan jawatan tersebut dan menegaskan SPRM bebas melakukan siasatan segera tanpa campur tangan mana-mana pihak. – MalaysiaGazette
















