Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA – Seorang penganggur kekal menjalani hukuman penjara 35 tahun dan 24 sebatan atas kesalahan membunuh ibu saudara dan adik lelakinya yang lumpuh, sembilan tahun lalu.

Keputusan itu dicapai oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Datuk Nordin Hassan selepas menolak rayuan akhir, Azman Wahab, 41, terhadap sabitan dan hukuman.

Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera dan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Terdahulu, peguam Ai Cha Ran yang mewakili Azman memohon untuk memasukkan bukti baharu iaitu tiga laporan perubatan bagi menyokong rayuan anak guamnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rafidah Zainuddin berhujah agar permohonan itu ditolak atas alasan ketiga-tiga laporan itu bukan bukti baharu kerana ia telah dikemukakan di mahkamah ketika perbicaraan dan ditandakan untuk pengecaman.

Pada 25 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi Alor Setar mensabitkan lelaki itu atas pertuduhan menyebabkan kematian di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaaan dan menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun.

Bagaimanapun, pada 14 November 2024, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mensabitkan Azman atas pertuduhan asal iaitu kesalahan membunuh setelah mendapati wujud merit dalam rayuan itu.

Azman disabitkan membunuh adik lelakinya, Muhammad Azwan, 26, di ruang tamu rumah mereka di Kampung Lanai, Parit Panjang, Baling, Kedah pukul 11 pagi 2 Oktober 2016.

Azman turut didapati bersalah membunuh Rokiah Abdullah, 54, di luar rumah itu pada 11.10 pagi, hari sama.

Tuduhan asal mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun maksimum 40 tahun, dan sebatan tidak melebihi 12 kali jika tidak dihukum gantung.

Keterangan kes menyatakan, Azman memukul kepala adiknya yang lumpuh akibat kemalangan menggunakan batang pokok rambutan, sebelum cuba memukulnya dengan sebatang besi.

Perayu selanjutnya ke dapur dan mengambil pemarut kelapa serta berulang kali memukul adiknya semula.

Penganggur itu kemudian membaling seketul bata ke arah muka Rokiah dan apabila Rokiah terjatuh, dia mengambil bata itu semula dan membaling bata ke arahnya sekali lagi, menyebabkan wanita itu tidak sedarkan diri.

Laporan bedah siasat menunjukkan kepala dan muka Muhammad Azwan hancur manakala kecederaan Rokiah diumpamakan sama seperti buah kelapa yang hampir terbelah dua. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast