KUANTAN – Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Mat Daling, Jerantut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini di atas dua pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan wang tunai berjumlah RM40,000.
Tertuduh, Mohamed Sahimi Wan Ishak, 63 bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut pertuduhan, dia diamanahkan dengan wang tunai berjumlah keseluruhan RM40,000 oleh individu mewakili KSS Timber Sdn Bhd bagi tujuan pembayaran kepada JPKK Kampung Mat Daling, Jerantut selaras dengan Perjanjian Pembalakan di antara KSS Timber Sdn Bhd dan JPKK Mat Daling.
Bagaimanapun, tertuduh didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan curangnya menyalahgunakan harta itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan Mohamed Sahimi pada 7 Julai 2022 dan 18 April 2023.
Bagi kedua-dua pertuduhan, warga emas itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebatan serta denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPP), Ezuain Farhana Ahmad manakala tertuduh diwakili Peguam Ahmad Syamsul Akmar Yusof.
Hakim mengenakan wang jaminan sejumlah RM5,000 terhadap tertuduh berserta penjamin bercagar dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri setiap awal bulan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tertuduh juga dikehendaki menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah dan tidak mengacau ganggu saksi sehingga perbicaraan kes selesai.
Hakim kemudian menetapkan tarikh 13 Januari 2026 bagi sebutan semula kes berkenaan. – MalaysiaGazette
















