JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor mengenakan kompaun berjumlah RM676,250 terhadap peniaga di seluruh negeri yang gagal mematuhi peraturan sejak awal tahun hingga kini.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, sebanyak 1,671 kes direkodkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, manakala 442 lagi kes melibatkan pelanggaran Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 bagi tempoh tersebut.
“Daripada jumlah keseluruhan kompaun, RM561,050 dikeluarkan bagi kesalahan di bawah AKHAP, manakala RM115,200 dikenakan untuk kes berkaitan ATS.
“Kesalahan ini antaranya melibatkan kegagalan mempamerkan tanda harga serta penggunaan alat timbang yang tidak disahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi walkabout dan pelancaran Program Pasar Patuh (3P) Peringkat Negeri di Pasar Awam Taman Perling di sini hari ini.
Katanya, statistik tersebut membuktikan komitmen berterusan KPDN Johor dalam memastikan peniaga patuh kepada undang-undang.
Pematuhan ujarnya, bukan sekadar kewajipan tetap pelaburan jangka panjang untuk membina keyakinan pengguna.
Beliau berkata, Program Pasar Patuh diwujudkan bagi meningkatkan tahap kepatuhan peniaga pasar awam melalui penandaan harga yang jelas, penggunaan alat timbang yang tepat dan persekitaran perniagaan yang teratur.
Bagi peringkat negeri, Taman Perling menjadi lokasi rintis kerana jumlah pengunjung dan peniaga yang tinggi. Sebanyak 150 peniaga terbabit dalam program itu, selepas menghadiri sesi advokasi pada Ogos lalu.
“KPDN Johor tidak menerima sebarang aduan sejak sesi advokasi itu dilaksanakan. Ini menunjukkan peningkatan kesedaran peniaga mengenai kepentingan mematuhi undang-undang dan menjaga hak pengguna,” katanya.
Beliau menambah, program itu turut mengukuhkan kerjasama rentas agensi seperti Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd dalam memastikan penguatkuasaan lebih efektif.
Selain itu katanya, program itu menjadi platform pendidikan kepada masyarakat, sekali gus menggalakkan pengguna memainkan peranan menyalurkan aduan sekiranya berlaku pelanggaran peraturan melalui Whatsapp 019-848 8000, Portal e-Aduan, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN- MalaysiaGazette
















