RAMALLAH – Satu bahagian dinding konkrit yang dibina Israel bagi memisahkan selatan Tebing Barat runtuh berikutan hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat di Hebron.
Kementerian Pertahanan Israel yang mengesahkan kejadian itu menyatakan bahawa tentera telah berada di lokasi dan melakukan operasi sementara di kawasan tersebut.
Bagaimanapun sumber polis Israel mendakwa tentera cuai dalam menyelenggara sistem perparitan dinding keselamatan itu yang membawa kepada keruntuhannya.
“Tentera tidak melakukam apa yang sepatutnya mereka lakukan, kini polis terpaksa menghadapinya,” kata sumber itu seperti dipetik Ynet.
Tel Aviv mula membina dinding pemisah itu pada 2002 bagi memisahkan Tebing Barat yang dicerobohinya.
Pada 2004, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengutuk pembinaan struktur itu dan menyatakan pembinaannya menyalahi undang-undang.
Tanah runtuh yang disebabkan hujan turut mengganggu aliran trafik di jalan utama barat Ramallah di tengah Tebing Barat. – Agensi
















