Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk menjalankan siasatan terhadap Shamsul Iskandar Mohd Akin yang meletak jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menerima perletakan jawatan Shamsul Iskandar dan mengucapkan terima kasih atas khidmat Setiausaha Politiknya itu.

“Berhubung tuduhan yang timbul, saya menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk menjalankan siasatan segera, tanpa sebarang campur tangan luar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, Shamsul Iskandar yang dikaitkan dengan mengeluarkan surat sokongan untuk projek pembinaan hospital dan  menerima  lebih RM600,000 daripada ahli perniagaan, Albert Tei mengumumkan perletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.

Beliau yang menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Anwar Ibrahim pada pagi semalam berkata, keputusan tersebut diambil adalah untuk mempertahankan dirinya daripada serangan yang dilakukan yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.

Berikutan itu, Ahli-Ahli Parlimen PN (MP PN) mendesak SPRM menjalankan siasatan segera dan tanpa berlengah, menyeluruh serta bebas bagi menentusahkan dakwaan yang dibuat oleh Albert yang melibatkan seorang pegawai kanan kepada Perdana Menteri.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN memandang serius pendedahan yang dibuat oleh Albert berhubung dakwaan telah memberikan lebih RM600,000 kepada Shamsul Iskandar yang mana ahli perniagaan itu mendakwa menyusun dokumen lebih 300 halaman, termasuk tangkap layar perbualan WhatsApp, resit dan gambar, bagi menyokong dakwaannya.

Menurut Anwar, kerajaan Madani kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast