Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal

KUALA LUMPUR – Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM468.0 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025 berbanding RM435.2 juta untuk tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, peningkatan lapan peratus.

Prestasi ini disokong oleh pengembangan perniagaan yang berterusan, sekali gus meningkatkan pendapatan takaful kepada RM2.75 bilion, naik RM86.1 juta berbanding RM2.66 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, prestasi sembilan bulan kami memberi isyarat jelas bahawa Takaful Malaysia terus menerajui industri dengan kekuatan dan disiplin.

“Pendapatan dan keuntungan sebelum zakat dan cukai mencatatkan pertumbuhan berdaya tahan, mengatasi prestasi industri walaupun berdepan pasaran yang mencabar,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Nor Azman, momentum ini mencerminkan keteguhan strategi dan kualiti portfolio Kumpulan dan fokus berterusan terhadap kecemerlangan operasi.

Melangkah ke hadapan, beliau memberitahu, Takaful Malaysia akan terus menumpukan inovasi berteraskan pelanggan, pemantapan keupayaan digital serta integrasi ESG.

Beliau berkata, platform digital Kaotim menunjukkan perkembangan positif dengan memperluaskan capaian melalui penawaran perlindungan dalam talian yang mudah diakses, mengukuhkan lagi kedudukan Kumpulan dalam pasaran runcit di samping kedudukan bankatakaful yang utuh.

“Prestasi stabil ini mencerminkan keberkesanan pelaksanaan strategi kami. Kami kekal komited menjana nilai mampan, mencapai kecemerlangan pelanggan serta memperkukuh kedudukan dalam industri takaful dan insurans.”

“Berasaskan kekuatan perniagaan teras kami, Kumpulan berada pada kedudukan kukuh untuk mengharungi baki tahun ini dengan tangkas dan yakin, sekali gus menjana nilai jangka panjang yang mampan kepada pihak berkepentingan,” ujarnya.

Kumpulan mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 18.5 sen sesaham biasa berjumlah RM161.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, peningkatan 8.8% berbanding 17.0 sen yang diumumkan pada tahun sebelumnya.

Ini mencerminkan kedudukan kesolvenan Kumpulan yang kukuh
serta komitmen berterusan untuk memberikan pulangan mampan kepada para pemegang saham.

Sementara itu, Takaful Malaysia telah melengkapkan terbitan sulung Sukuk Subordinat Tahap Kedua berjumlah RM500
juta dalam memperkukuh struktur modal Kumpulan.

Diterbitkan di bawah Program Sukuk Subordinat Tahap Kedua bernilai RM1.0 bilion, instrumen ini diiktiraf sebagai modal Tahap Kedua di bawah Rangka Kerja Modal Berasaskan Risiko Bank Negara Malaysia untuk Pengendali Takaful, sekali gus meningkatkan kedudukan modal Kumpulan.

Sukuk tersebut, diterbitkan pada 29 September 2025 dengan
kadar keuntungan 3.83% setahun, menerima penarafan AA3 daripada RAM Rating Services Berhad. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast