KUALA LINGGI – Tiga warga asing ditahan pihak berkuasa dalam operasi bersepadu Op Tirai Biru yang memeriksa 153 individu terlibat aktiviti di perairan Melaka bermula 24 November lalu sehingga semalam.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, mereka terdiri daripada seorang warga Pakisan dan dua Indonesia termasuk seorang wanita berumur 26 hingga 56 tahun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, seramai 153 individu diperiksa pula berumur 24 hingga 60 tahun termasuk 97 bukan warganegara dengan pecahan warga China (46), Indonesia (23), India (15), Ukraine (6) Georgia (5) selain masing-masing seorang warga Pakistan dan Bangladesh.

“Operasi pemeriksaan terhadap 22 premis, kenderaan awam dan vesel di laut ini dilakukan bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan keselamatan perairan Melaka walaupun berdepan dengan cabaran cuaca Monsun Timur Laut.
“Tumpuan diberikan kepada pemantauan ketat perairan dan pesisir pantai serta penguatkuasaan undang-undang berpandukan Prosedur Tetap Operasi (SOP) Operasi Bersepadu Keselamatan Menyeluruh (COMSEC) Majlis Keselamatan Negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, operasi julung kali itu melibatkan 28 pegawai dan 73 anggota dengan kekuatan 11 aset darat dan lima aset laut, termasuk kerjasama pelbagai agensi.

Agensi lain turut terlibat adalah seperti Briged Pertama Infantri Malaysia (Angkatan Tentera Malaysia), Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Melaka dan Jabatan Imigresen Malaysia Melaka.
“Taklimat operasi disampaikan Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri, Komander Maritim Norrimi Hassan yang memperincikan strategi rondaan, pengukuhan mekanisme perkongsian maklumat serta penetapan peranan setiap agensi bagi memastikan operasi berjalan lancar.
“Kerjasama strategik melalui Op Tirai Biru ini akan diteruskan bagi mengekalkan keselamatan perairan serta kedaulatan negara pada tahap tertinggi,” katanya.
Salehuddin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang kegiatan mencurigakan di kawasan perairan boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau talian kecemasan 999, yang beroperasi 24 jam. – MalaysiaGazette
















