JOHOR BAHRU – Tular seorang pelajar di negeri ini yang mendakwa dihalang daripada menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berkaitan kes buli.
Perkara itu mendapat perhatian selepas dikongsikan seorang pemuda dikenali Afiq Noordin dalam Facebook berkenaan seorang remaja perempuan Hakifays (bukan nama sebenar) yang sedang membantu ibunya di kedai makan.
Perbualan dengan gadis itu mendakwa telah menjadi mangsa buli kerana fizikalnya sejak tingkatan satu dan situasi bertambah buruk sehingga penjaganya mengambil keputusan untuknya berhenti sekolah pada tahun lalu.
Hasrat gadis itu untuk menduduki SPM tahun ini terkubur biarpun telah mendakwa memaklumkan kepada guru sekolah, namun diberikan alasan tempat sudah penuh.
Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) hari ini mengesahkan isu tular berhubung pelajar berkenaan yang mendakwa dihalang menduduki SPM 2025.
Menurut JPNJ, hasil siasatan mendapati murid terbabit sebenarnya telah berhenti sekolah pada 2024 atas permintaan penjaga untuk mengikuti bidang kemahiran.
“Tindakan pemulihan telah diberikan oleh pihak sekolah berkenaan isu buli membabitkan murid terbabit.
“Perjumpaan khas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bersama-sama penjaga bersetuju murid akan menduduki SPM pada tahun 2026.
“Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah juga telah memberikan bantuan berkaitan urusan pendaftaran sebagai calon SPM 2026,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut JPN Johor, bagi memastikan komitmen berterusan berkaitan kebajikan dan pendidikan murid tersebut.
Katanya, GiatMara menawarkan tajaan penuh pengajian selama enam bulan bermula Januari 2026.
“Sementara Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti, dan Swasta (PIBKS) daerah menanggung sewaan bilik selama enam bulan untuk memastikan murid dapat mengikuti program kemahiran.
“JPN Johor menzahirkan penghargaan kepada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), GiatMara dan PIBKS yang membantu memastikan kebajikan dan pendidikan murid sentiasa menjadi keutamaan.
“JPN Johor terus komited memastikan tiada keciciran murid dalam menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” maklum kenyataan itu lagi.- MalaysiaGazette
















