Ahmad Zahid ketika mengadakan lawatan di Kolej Komuniti Tawau dan Institut Pendidikan Guru Tawau, Sabah, hari ini.

KUALA LUMPUR – Gelombang sokongan anak muda di Tawau dilihat semakin memuncak susulan penganjuran Jelajah Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang berlangsung pagi ini di Kolej Komuniti Tawau dan Institut Pendidikan Guru Tawau, Sabah.

Dalam ucapannya Ahmad Zahid menegaskan, wujud perbezaan ketara antara gaji individu berkemahiran TVET berbanding mereka yang tidak memiliki kemahiran formal.

Menurut beliau, walaupun kerajaan menetapkan gaji asas RM1,700, majikan menyatakan bahawa anak muda dengan pensijilan seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 layak menerima gaji sekitar RM2,500 selaras dengan permintaan industri yang semakin memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Majikan juga memaklumkan bahawa prospek pekerjaan untuk graduan TVET jauh lebih luas, selain akses yang lebih mudah ke pasaran kerja.

“Peningkatan permintaan terhadap kompetensi teknikal membuktikan bahawa laluan TVET kini bukan lagi pilihan sampingan, sebaliknya menjadi platform penting yang menawarkan mobiliti ekonomi lebih besar kepada golongan muda,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengingatkan bahawa agenda TVET negara diperkukuhkan melalui Majlis TVET Negara yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Katanya, kesinambungan pembangunan ekosistem kemahiran negara adalah penting bagi memastikan anak muda bersedia mengisi keperluan industri masa depan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 merekodkan bahawa 55.4 peratus daripada keseluruhan 1,784,843 pengundi terdiri daripada pemilih muda berusia 18 hingga 40 tahun, menjadikan mereka kelompok penentu masa depan negeri menjelang 29 November ini.

Lebih memberangsangkan, data semasa menunjukkan 95.1 peratus graduan TVET berjaya memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian, menjadikan laluan tersebut antara yang paling efektif dalam menjamin kestabilan kerjaya anak muda.

“Pastikan tanggal 29 November ini, anak muda memilih calon yang benar-benar memperjuangkan hak orang muda seperti saranan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” ujar Datuk Mohd Zaidy. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast