KUALA LUMPUR – Bukan sekadar dinding retak dan bangunan yang dimamah usia kelihatan menyakitkan mata malah bau busuk dari kawasan flat menambah ketidakselesaan kehidupan ratusan penghuninya.
Itu realiti yang terpaksa dihadapi oleh penduduk Flat Taman Kuchai Jaya di sini yang dibina pada 1989 dan kini sudah berusia lebih tiga dekad.
Empat blok setinggi enam tingkat berdiri di tengah ibu kota bukan sahaja sarat dengan sejarah tetapi dalam masa sama ada banyak masalah.
Salah satunya, lif yang kerap rosak memaksa warga emas memanjat tangga yang rata-ratanya retak dan hanya diikat dengan dawai tipis untuk menampung keadaan yang sudah tentu ada risiko bahaya.

Ironinya, flat yang terletak di lokasi strategik berhampiran stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), Transit Aliran Massa (MRT) dan klinik kesihatan itu tidak mampu melonjakkan nilainya.
Dek kerana keadaannya yang usang dan tidak selamat, seunit rumah di sini hanya berharga antara RM80,000 hingga RM122,000, jauh lebih rendah daripada pasaran semasa.
Timbul masalah lain harga murah itu pula menjadi tarikan warga asing untuk menetap sekali gus mengubah demografi asal flat berkenaan menjadi ‘perkampungan’ mereka.
Bagi Pachaianmah Raju, 68, keadaan flat yang semakin uzur menimbulkan kebimbangan besar terutama aspek keselamatan para penghuninya.

Katanya, pelbagai kerosakan yang dibiarkan terlalu lama telah memberi kesan kepada kehidupan seharian mereka.
“Bumbung banyak bocor, dinding pun retak. Kalau hujan, air masuk ke dalam rumah. Lif pula jarang berfungsi, jadi kami yang sudah tua terpaksa naik tangga setiap hari,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Beliau menegaskan, penduduk bukan menuntut kediaman mewah sebaliknya hanya sebuah rumah yang lebih selesa dan selamat untuk didiami.
Tambahnya, perumahan baharu perlu mengambil kira keperluan penduduk berusia dengan menyediakan kemudahan lif serta ciri keselamatan lebih baik.
“Kami tiada pilihan lain, ini sahaja rumah kami. Kalau kerajaan mahu bina semula, kami memang setuju asalkan penduduk masih boleh tinggal di kawasan sama.
“Takkan nak tunggu sampai runtuh baru nak bina baru?” soalnya.
Hamid Kadir, 55, yang sudah lebih 30 tahun mendiami flat berkenaan mengakui keadaan persekitaran kediamannya yang dihimpit pembangunan dengan imej yang kotor dan tidak selamat memerlukan perubahan.
“Kalau ikut pengalaman saya, hidup di sini dulu memang selesa tapi sekarang, sampah sarap, keselamatan dan kerosakan rumah semakin ketara. Kami setuju kalau ada pembaharuan semula,” katanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan, sebarang pembangunan semula perlu memastikan penduduk asal kekal dan menjadi keutamaan.
Isu keselamatan juga menjadi kebimbangan apabila Hamid Kadir sendiri pernah beberapa kali menjadi mangsa jenayah.
“Kereta saya pernah dipecah beberapa kali. Itu belum masuk kes kecurian lain di kawasan ini. Malangnya, aduan macam ini tidak banyak yang berubah,” katanya.

Dalam pada itu, Hamid Kadir juga mahu mereka yang menjadi pemilik asal wajar diberi peluang kembali tinggal di sini semula.
“Jangan sampai rumah kami hilang begitu sahaja. Kalau robohkan, gantikan dengan rumah baharu untuk kami,” tegasnya.
Seorang lagi penduduk, Jamaliah Talit, 64, yang lebih tiga dekad menetap di flat itu turut mendedahkan kes jenayah semakin meruncing termasuk kecurian motosikal dan pecah rumah.

“Motosikal hilang itu biasa, rumah jiran pun pernah kena pecah masuk. Bila malam, memang rasa tak selamat. Nak naik tangga pun takut sebab gelap,” katanya.
Bagi beliau, pembangunan semula bukan lagi pilihan sebaliknya satu keperluan mendesak.
Bagi Low Lisee, 60, yang sudah berpuluh tahun mendiami flat cadangan pembangunan semula kawasan berkenaan sememangnya perkembangan positif namun menegaskan, proses tersebut perlu dilaksanakan dengan telus serta menjaga hak penghuni asal.

“Kami setuju kalau nak roboh dan bina baharu. Cuma biarlah telus, ada mesyuarat, ada perjanjian hitam putih. Jangan nanti kami yang sudah 30, 40 tahun duduk sini terpinggir,” katanya lagi.
Dalam pada itu, kebimbangan yang sama turut dikongsi para penduduk rumah pangsa awam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Jalan Kuching di sini.
Perumahan 15 blok bangunan empat tingkat dengan keseluruhan 600 unit kediaman itu kini ibarat ‘hidup segan, mati tidak mahu’.
Seorang penduduknya, Jamaluddin Jani, 69, setuju dengan cadangan pembangunan semula dengan syarat ia dilaksanakan secara adil dan tidak menindas mereka.
Padanya, kebimbangan utama penduduk adalah soal hak milik tanah serta pampasan yang bakal diterima jika kawasan itu dibangunkan semula.

“Kami sokong pembangunan tapi biarlah sama-sama dapat manfaat. Jangan ada pihak rasa tertindas. Kalau telus, ada perjanjian jelas dan hak kami dijaga, tiada masalah.
“Kami takut, kalau ada akta yang akhirnya rampas hak kami. Kalau cara dia betul, kami setuju tapi kalau menindas, memang susah untuk kami terima,” akuinya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia, Ishak Ismail menjelaskan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dicadangkan kerajaan merupakan satu langkah penting untuk menyelesaikan masalah perumahan usang yang semakin membimbangkan di kawasan bandar.
Menurut beliau, banyak bangunan kediaman lama seperti flat kos rendah dan sederhana rendah kini berdepan isu struktur, penyelenggaraan lemah serta persekitaran yang tidak selamat akibat kegagalan sistem pengurusan sedia ada.

“Ramai pemilik tidak membayar caj penyelenggaraan dan perkara itu bukan satu kesalahan jenayah di Malaysia. Jadi, bila kutipan tak dibuat dengan baik, pihak pengurusan pula gagal bertindak, akhirnya sistem bangunan lumpuh.
“Lama-kelamaan, ia jadi tidak selamat diduduki, malah ada yang berubah menjadi sarang penagihan dadah dan kegiatan jenayah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Tambah Ishak, pelaksanaan RUU tersebut bukan bertujuan merampas hak pemilik asal sebaliknya memberi jaminan bahawa mereka akan mendapat semula kediaman masing-masing dalam keadaan yang lebih baik, moden dan selesa.
“Ramai risau kalau rumah diroboh, mereka akan kehilangan hak. Sebenarnya tidak. Mereka tetap akan dapat semula rumah di kawasan sama, cuma dalam bentuk yang lebih berkualiti dan teratur,” tegasnya.
Beliau turut menekankan bahawa selepas sesuatu projek pembaharuan semula siap, hanya pihak profesional dan kompeten wajar dilantik untuk menguruskan bangunan bagi mengelak masalah sama berulang.
“Jika GMB (Gabungan Badan Pengurusan Bersama) atau MC (Jawatankuasa Pengurusan) mahu urus sendiri, perlu ada garis panduan yang jelas serta SOP teratur.
“Selain itu, penguatkuasaan perlu tegas terhadap mereka yang gagal membayar caj penyelenggaraan supaya sistem bangunan kekal berfungsi dengan baik,” ujarnya.
Mengulas kebimbangan berkaitan status tanah, Ishak menjelaskan, RUU berkenaan akan tetap tertakluk di bawah Kanun Tanah Negara, sekali gus menjamin hak pemilik asal.
“Sebagai contoh, jika kawasan itu tanah rizab Melayu, statusnya tetap kekal walaupun pembangunan semula dilaksanakan. Undang-undang ini bukan untuk menghukum, tetapi mendisiplinkan dan memastikan pembangunan semula berjalan dengan adil serta mampan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memaklumkan bahawa RUU URA bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur dan daif dapat dibangunkan semula secara terancang, adil dan inklusif.
RUU itu juga akan menggantikan perundangan lama yang tidak lagi relevan bagi mengawal pembangunan semula kawasan bandar.
RUU berkenaan telah ditunda untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, dan akan dipinda termasuk dari segi nilai ambang persetujuan pemilik tanah bagi menghormati pandangan Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi.
Akta ini dilihat penting bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat bandar berpendapatan rendah, melalui pendekatan berani dan tegas demi memastikan rakyat bawahan menikmati kediaman yang lebih selesa, selamat dan bermaruah. – MalaysiaGazette
Usang dan Tidak Selamat: Penghuni Flat Mahukan Keselesaan, Tapi Perlu Pertimbangan
LIPUTAN BERKAITAN:
Usang dan Tidak Selamat: Penghuni Flat Mahukan Keselesaan, Tapi Perlu Pertimbangan
PSB: KPKT Terbuka Terima Pandangan Konstruktif Semua Pihak Demi Kehidupan Rakyat
Konvensyen PSB anjuran UMNO lulus 3 resolusi, syor 14 cadangan tambah baik
















