SULAMAN – Golongan belia yang membentuk kira-kira 40 peratus jumlah pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Sulaman wajar memilih calon Barisan Nasional (BN), Dr Shahnon Rizal Thaijuddin supaya mereka dapat merasa perubahan kritikal di kawasan itu yang sudah jauh terpinggir daripada pembangunan dan berdepan dengan pelbagai masalah asas.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Bastien Onn berkata, Shahnon mampu menjadi wakil rakyat terbaik dan berupaya membawa perubahan kepada kawasan tersebut berbanding calon lama yang sudah ‘selesa’ dengan keadaan sedia ada Sulaman.
Shahnon, bukan sahaja memiliki berkelulusan perubatan dari Rusia tetapi juga adalah calon muda yang mempunyai semangat tinggi dalam untuk membawa pembaharuan baharu.
Bastien berkata, sepanjang berkempen, beliau dan Shahnon kerap mendengar masalah asas seperti bekalan air, infrastruktur dan isu akses perubatan.
“Takkanlah nak berterusan dengan keadaan begini, jauh daripaa pembangunan dengan permasalahan asas yang pelbagai.
“Mungkin pemimpin lama di sini mempunyai pandangan bahawa beliau tetap akan menang tanpa perlu membawa sebarang perubahan nyata, itu silap,” katanya selepas mengikuti program walkabout di Kampung Baru-Baru, Sulaman.

Jelas beliau, pengundi di Sulaman harus menghantar isyarat jelas bahawa keadaan akan datang sudah tidak lagi sama dan sudah tiba masanya meletakkan harapan kepada bahu pemimpin muda untuk melaksanakan perubahan drastik.
“Mana mungkin mata dan hatinya (Shahrom) sampai hati untuk melihat keadaan di kawasan Sulaman berterusan begini tanpa sebarang perubahan.
“Sudah 35 tahun pengundi dah beri peluang dan inilah masanya generasi baru membuat perubahan,” katanya lagi.
Bastien turut menyeru kepada pengundi untuk memilih pemimpin yang berwawasan dan tidak terikat dengan corak pentadbiran lama.
DUN Sulaman menjadi antara kerusi panas apabila menyaksikan lima penjuru dan Shahnon akan menentang Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) yang juga penyandang di situ selain Mokhtar Hussin (Warisan), Tiaminah @ Siti Aminah Ele (Perikatan Nasional) dan Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah). – MalaysiaGazette
















