KUALA LUMPUR – Penggunaan kaedah electronic Know Your Customer (eKYC) akan diperluaskan secara berperingkat mulai tahun ini oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada semua pengguna bagi mengelakkan pemalsuan akaun utiliti itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sejak pengenalan sistem biometrik dan prosedur lebih ketat kaedah itu berjaya menunjukkan trend positif di mana kes pemalsuan identiti menurun secara ketara.
“Sebelum ini pada 2021 terdapat 92 kes, 2022 (49 kes) dan 2023 (26 kes). Pada 2024, selepas pengenalan sistem biometrik, hanya terdapat tiga kes itu membabitkan permohonan secara dalam talian.
“Baru dijalankan secara rintis dapat kurangkan kes penipuan identiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Menjawab soalan berkait isu pemalsuan akaun TNB dibangkitkan Lim Lip Eng (PH-Kepong), Fadillah berkata, perjanjian sewa palsu serta akaun keldai yang disalahgunakan bagi tujuan mencuri elektrik membabitkan penggunaan identiti palsu.
Jelasnya, senario itu telah mendedahkan pemilik identiti atau akaun sah risiko untuk menanggung hutang yang bukan kepunyaan mereka selain menjejaskan keselamatan sistem, integriti perkhidmatan serta keyakinan pengguna.
“Melalui eKYC, pengguna perlu mengimbas dokumen pengenalan dan memadankannya dengan visual diri bagi pengesahan wajah.
“Penggunaan eKYC akan diperluaskan secara berperingkat mulai tahun ini bagi semua permohonan individu melalui portal myTNB,” katanya. – MalaysiaGazette
















