KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjelaskan, jumlah kemasukan pelajar antarabangsa adalah terhad iaitu hanya 8.4 peratus bagi peringkat prasiswazah di Universiti Awam (UA) dengan fokus utama adalah program ijazah sarjana muda dan subsidi kerajaan untuk anak tempatan saja.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, ia berbeza dengan peringkat pasca siswazah yang mana tiada had kemasukan ditetapkan bagi pelajar antarabangsa untuk pengajian sarjana dan doktor falsafah (PhD).
Menurut beliau, ini kerana setiap UA mempromosi kualiti serta kesohoran universiti masing-masing melalui dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi.
“KPT sentiasa memantau pengambilan pelajar antarabangsa di semua universiti awam (UA) bagi memastikan pelajar tempatan terus diberi keutamaan dalam sektor pendidikan tinggi negara.
“Sehingga 31 Disember 2024, seramai 180,024 pelajar berada di lima universiti penyelidikan (RU) bagi peringkat pra dan pasca siswazah, iaitu 141,636 orang (78.7 peratus) pelajar tempatan dan 38,388 orang (21.3 peratus) pelajar antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa bagi KPT di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Mustapha menambah, masalah timbul apabila statistik yang sering dipetik merangkumi pra dan pasca siswazah yang kelihatan besar iaitu kira-kira 20 peratus.
Katanya, sekiranya diperincikan, senario boleh lihat bagi prasiswazah di mana jumlah pelajar antarabangsa adalah di bawah 10 peratus sahaja.
“Selain itu, yuran dikenakan kepada semua pelajar antarabangsa juga tanpa subsidi.
“Dasar pengantarabangsaan pendidikan dilaksanakan bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global, namun tidak sekali-kali mengabaikan peluang akses pendidikan kepada anak tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette
















