Para nelayan orang asli membawa naik hasil laut selepas mencari rezeki untuk di jaual kepada para pelanggan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Pagi Orang Asli, Bakar Batu, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 02 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana KPKM serta menggerakkan operasi di semua peringkat bagi membantu petani, peladang, penternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri, termasuk Kelantan, Perlis, Perak, Kedah, Terengganu dan Selangor.

Pengaktifan ini selaras dengan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang meramalkan ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) pada 13 November 2025 hingga Mac 2026, dengan jangkaan hujan lebat di beberapa negeri yang berpotensi menyebabkan banjir.

Sehubungan itu, KPKM telah menggerakkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana KPKM di peringkat daerah dan negeri serta mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana di peringkat pusat, negeri dan daerah.

Bilik Gerakan Bencana KPKM di peringkat negeri dan daerah kini sedang memantau keadaan cuaca secara berterusan, membuat hebahan awal kepada golongan sasarserta melaksanakan pelan mitigasi bagi mengurangkan kerugian sektor agromakanan negara sepanjang tempoh bencana.

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana KPKM yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak, Ketua Setiausaha turut dihadiri oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang bersetuju memberikan kerjasama penuh dalam menyalurkan kit bantuan banjir melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta menggerakkan jentera bantuan banjir melalui Jabatan Pertanian.

Kerjasama ini turut akan diperluas dengan penglibatan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

NADMA juga akan menyalurkan maklumat bencana terkini kepada KPKM melalui Bilik Gerakan Bencana KPKM.

“KPKM sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan bersedia menggerakkan aset-aset bagi membantu usaha menyelamat mangsa banjir sekiranya diperlukan, tertakluk kepada kebenaran daripada NADMA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, KPKM turut menyediakan bantuan pasca bencana kepada mereka yang terkesan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) untuk tanaman padi dan Tabung Bencana Pertanian (TBP) bagi aktiviti agromakanan, sebagai usaha membantu petani, penternak dan nelayan yang memerlukan bantuan segera.

Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana KPKM di talian 03-8870 1663/ 1664 / 1491 atau Bilik Gerakan Negeri untuk mendapatkan maklumat lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast