KUALA LUMPUR – Ahli Ekonomi Bank Dunia, Dr. Apurva Sanghi menyifatkan Malaysia berada pada tahap penting dalam menangani cabaran ekonomi semasa dan perlu memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar yang konsisten serta berkesan.
Menurutnya, Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh, namun memerlukan komitmen berterusan dalam memastikan setiap strategi pembangunan dapat diterjemahkan kepada hasil yang nyata.
Ini kerana, ketidaktentuan ekonomi global ketika ini menuntut negara-negara seperti Malaysia untuk lebih berhati-hati dan berdisiplin dari segi pengurusan fiskal.
“Malaysia mempunyai potensi besar dalam menarik pelaburan bernilai tinggi dan mengukuhkan daya saing serantau sekiranya reformasi ekonomi dilaksanakan secara konsisten,” katanya ketika ditemui sekumpulan media di luar Persidangan Tinjauan Ekonomi Kebangsaan anjuran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) di Menara Affin hari ini.
Dr. Apurva menarik perhatian tumpuan kepada produktiviti, modal insan dan inovasi kekal menjadi antara pemacu utama pertumbuhan masa hadapan.
Tambahnya, landskap ekonomi global yang semakin kompleks memerlukan Malaysia memperkukuh keupayaan institusi serta memastikan setiap pembaharuan dilaksanakan secara inklusif.
Dalam pada itu, kata beliau, dialog antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti pelabur perlu diteruskan bagi memastikan polisi yang digubal berpandukan perkembangan sebenar di lapangan.
“Pastinya Malaysia berada pada landasan yang positif namun penyelarasan dasar serta keupayaan melaksanakannya adalah kunci kepada kemajuan berterusan,” ujar beliau lagi. -MalaysiaGazette















