Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (empat kiri) ketika sesi bergambar selepas perasmian Persidangan Tinjauan Ekonomi Negara (NEOC) di Menara AFFIN@TRX, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 NOVEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia komited dalam memperkukuh agenda inovasi sebagai teras meningkatkan daya saing ekonomi dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, usaha mempertingkat kerumitan ekonomi negara dan memacu aktiviti bernilai tinggi selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menurutnya, inovasi bukan sahaja menjadi pemangkin pertumbuhan masa depan, malah menjadi tunjang penting kepada kedudukan ekonomi digital Malaysia dalam pasaran global.

“Kerajaan komited memperkukuh sektor bernilai tinggi dan memperluas potensi ekonomi digital Malaysia agar negara kekal kompetitif,” katanya ketika berucap pada Persidangan Tinjauan Ekonomi Kebangsaan anjuran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), di sini, hari ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri
Amir Hamzah Azizan berucap pada
Persidangan Tinjauan Ekonomi Negara (NEOC) di Menara
AFFIN@TRX, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 NOVEMBER 2025

Menurut Amir Hamzah, satu ekosistem kecerdasan buatan (AI) yang menyeluruh akan diwujudkan melalui Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 untuk memastikan Malaysia bersedia muncul sebagai negara inklusif, mampan dan dipacu teknologi.

Tambah beliau, landskap ekonomi dunia kini berubah dengan begitu cepat ekoran ketidaktentuan geopolitik, tekanan perdagangan, perubahan demografi serta cabaran pekerjaan akibat perkembangan teknologi yang pesat.

Namun, katanya, sejarah menunjukkan negara yang berorientasikan inovasi sentiasa berjaya menyesuaikan diri dan mengatasi tekanan global.

Jelasnya, inovasi tidak boleh dianggap terhad kepada kejayaan besar atau projek bertaraf global, sebaliknya penyelesaian praktikal yang membantu masyarakat dan perniagaan kecil juga membawa impak besar kepada ekonomi.

“Inovasi yang meningkatkan kehidupan komuniti tertentu atau kumpulan tertentu khususnya yang kurang mendapat perhatian, adalah sama penting.

“Ia seharusnya berfungsi menyelesaikan cabaran harian yang dihadapi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selaras dengan keutamaan kerajaan dalam memperkasa PMKS di bawah RMK13,” ujarnya.

Beliau berkata, inovasi pada skala komuniti mampu membuka peluang ekonomi baharu, selain meningkatkan potensi keusahawanan masyarakat luar bandar dan kumpulan yang kurang mendapat akses.

Katanya, memupuk budaya inovasi di semua peringkat akan menjadi asas penting dalam memastikan Malaysia kekal sebagai ekonomi moden yang tangkas dan bersedia menghadapi cabaran masa depan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast