SHAH ALAM – Peguam kepada keluarga kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin, Datuk Naran Singh bingung dengan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menolak permohonan untuk menyerahkan laporan bedah siasat pertama Allayarham.
Naran membangkitkan perkara itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Bhupindar Singh dan memaklumkan pegawai penyiasat sebenarnya tidak mempunyai halangan tetapi meminta keluarga mendapatkan kebenaran daripada AGC terlebih dahulu.
“Saya benar-benar tidak faham mengapa Peguam Negara enggan menyerahkan laporan itu.
“Undang-undang sangat jelas, ia merupakan dokumen awam di bawah Seksyen 74 Akta Keterangan. Sepatutnya tiada masalah untuk serahkan laporan tersebut,” katanya pada prosiding hari ini.
Beliau turut memaklumkan laporan bedah siasat kedua sudah disiapkan dan akan dituntut daripada Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) esok.
Namun Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan mahkamah pihaknya belum menerima arahan untuk menyerahkan laporan pertama memandangkan kematian Syamsul masih dalam siasatan.
Beliau berkata, AGC masih menunggu dapatan bedah siasat kedua sebelum membuat keputusan.
“Sebaik sahaja kami menerima kertas siasatan serta laporan bedah siasat pertama dan kedua, barulah keputusan boleh dibuat mengenai permohonan tersebut,” ujarnya.
Hakim Bhupindar kemudian menetapkan 5 Disember untuk pihak pendakwaan memberikan perkembangan terbaharu dan menentukan sama ada mahkamah perlu mengarahkan AGC menyerahkan laporan bedah siasat pertama itu.
Pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan jenazah Syamsul digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan selepas ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, memfailkan usul berhubung punca kematian anaknya.
Ummu Haiman Bee turut menamakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail dan Peguam Negara, Tan Sri Dusuki Mokhtar sebagai responden.
Mahkamah turut mengarahkan laporan bedah siasat kedua itu disiapkan dalam tempoh munasabah dan diserahkan kepada peguam keluarga.
Syamsul yang berusia 22 meninggal dunia pada 28 Julai ketika menjalani latihan Palapes di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram.
Latihan tersebut berlangsung pada 26 Julai dan tamat pada 3 Ogos 2025.
Laporan awal menyebut mangsa mengalami sawan sebelum meninggal dunia namun keluarganya mendakwa terdapat kesan lebam serta kecederaan pada tubuh mangsa yang didakwa lebih konsisten dengan unsur serangan fizikal.
Pada 13 Ogos, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin memaklumkan pihak berkuasa tidak menemui sebarang bukti menunjukkan kadet itu didera secara fizikal sebaliknya dapatan awal bedah siasat, juga tidak menunjukkan tanda dera, sementara laporan penuh dijangka siap dalam tempoh dua bulan. -MalaysiaGazette
















