Foto: Kedutaan Besar Malaysia, Bangkok

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan kerajaan Thailand atas bantuan serta keprihatinan dalam membantu rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir di wilayah terjejas di negara itu.

Menurut Perdana Menteri, tindakan itu mencerminkan kekuatan hubungan dua hala yang telah lama terjalin, serta semangat solidariti yang amat dihargai Malaysia.

Tambahnya, Malaysia dan Thailand akan terus bekerjasama rapat demi keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

“Kerajaan MADANI sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan setiap rakyat Malaysia yang masih terkandas dapat pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Luar melaporkan kira-kira 4,000 rakyat Malaysia di Hatyai dan kawasan berhampiran terkesan akibat banjir yang sedang melanda sejak Sabtu lalu, namun semuanya dilaporkan selamat.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, kebanyakan mereka yang terjejas sedang menginap di hotel bertingkat, meskipun terdapat yang mengalami gangguan sementara bekalan elektrik dan akses makanan ekoran gangguan setempat.

Tambahnya, Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang memantau rapat situasi banjir itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast