Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama hadirin yang hadir pada Temu Rapat Dengan Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran di Dewan Kebudayaan Bajau Samah, Sulaman, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 27 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Anak muda Sabah menggesa perubahan landskap politik negeri itu dengan menekankan keperluan pengundi berpengetahuan serta seorang ketua menteri yang benar-benar komited mempertahankan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Gesaan itu disuarakan dalam program ‘Kerusi Biru’ yang menampilkan wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK), May Eva Sofea Zainal Abidin dan aktivis Atalia Mae Albert Jaua-Mojuntin dengan Timbalan Setiausaha Agung Keadilan , Aidi Amin Yazid, sebagai moderator.

Dalam perbincangan itu, May Eva Sofea berkata, MA63 perlu dijadikan asas pentadbiran Kerajaan Sabah yang baharu, sambil menekankan sebahagian besar rakyat masih tidak memahami sepenuhnya perjanjian bersejarah tersebut.

“MA63 ini isu lama, tetapi ramai orang Sabah masih tidak faham. Ketua Menteri mesti menuntut hak kita apabila kerajaan baharu dibentuk,” katanya dalam program itu.

program ‘Kerusi Biru’ yang menampilkan wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK), May Eva Sofea Zainal Abidin dan aktivis Atalia Mae Albert Jaua-Mojuntin dengan Timbalan Setiausaha Agung Keadilan , Aidi Amin Yazid, sebagai moderator.

Beliau turut memuji keterbukaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya lebih bersedia membincangkan hak Sabah berbanding pentadbiran terdahulu.

“Sebelum ini, tidak ada yang memberi perhatian kepada MA63, tetapi PMX bersedia mendengar pimpinan Sabah,” ujarnya.

May Eva menegaskan, pendidikan pengundi adalah kunci terutama dalam era media sosial.

“Kepada pengundi Sabah, baca. Jangan bergantung pada TikTok. Baca lebih daripada satu sumber dan buatlah kajian. Bila mengundi, jangan ikut orang lain. Mengundilah dengan ilmu, bukan emosi,” ujarnya.

Walaupun mengakui Sabah masih belum menemui rentak, beliau optimis dengan peningkatan kesedaran politik dalam kalangan pengundi muda.

“Pengundi muda hari ini lebih sedar dan mereka tahu apa yang mereka mahukan.”

Aktivis Atalia Mae Albert turut sependapat, menegaskan Sabah memerlukan seorang Ketua Menteri yang fokus sepenuhnya kepada kepentingan negeri.

“Kalau Ketua Menteri mahu jaga hal persekutuan, jadi menteri di pusat jangan jadi Ketua Menteri. Kita perlu tuntut hak kita,” katanya lagi.

Atalia turut menyentuh cabaran besar dihadapi anak muda Sabah yang mahu melakukan pembaharuan, termasuk budaya politik dinasti yang masih kukuh.

“Perjalanannya panjang untuk anak muda. Politik Sabah adalah politik dinasti, dan cabarannya besar bagi sesiapa yang mahu melihat Sabah baharu.”

Ketika ditanya sama ada Sabah telah mencapai kemajuan sejak merdeka, kata Atalia belum lagi sampai ke tahap itu.

Walaupun berkongsi kebimbangan yang sama, kedua-dua panelis optimis pengundi yang lebih celik dan berdaya khususnya golongan muda mampu membuka laluan baharu kepada masa depan Sabah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast