KUALA LUMPUR – Rakaman video yang memaparkan seorang lelaki tidak sedarkan diri dilanggar jet ski di Sungai Melaka yang tular merupakan sebahagian daripada penggambaran sebuah produksi filem yang dijalankan pada 26 hingga 28 November lalu.

Menurut Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), hasil semakan serta pengesahan bersama pihak produksi, adegan berkenaan telah dirancang lebih awal yang mana ia melibatkan pelakon dan kru profesional.

Tambahnya, penggambaran tersebut dilaksanakan mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan.

“Pihak produksi turut berada di bawah pemantauan dan kerjasama agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, bagi memastikan tahap keselamatan optimum, pasukan perubatan, petugas kesihatan serta ambulans berada di lokasi sepanjang penggambaran, dengan kesiapsiagaan penuh sekiranya berlaku kecederaan atau kecemasan.

Berikutan itu, orang ramai disarankan tidak membuat tafsiran yang salah atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast