KUALA LUMPUR – Memberi nafkah kepada ibu bapa yang fakir, tidak berkemampuan atau tiada sumber pendapatan merupakan suatu kewajipan ke atas anak-anak, sama ada lelaki atau perempuan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, hukum itu berasaskan prinsip bahawa tanggungan nafkah adalah sebahagian daripada kewajipan keluarga terdekat (nafqatul qarâbah) menurut hukum syarak.
Sehubungan itu, jelas beliau, semua anak dipertanggungjawabkan untuk saling membantu dalam memenuhi keperluan asas ibu bapa yang tidak berupaya, lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang mempunyai kemampuan dan kelebihan harta.
Disebabkan itu juga, tambahnya, kerajaan MADANI melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengambil langkah proaktif dengan mengusahakan penggubalan undang-undang baharu, iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah.
Kata beliau, RUU itu akan memasukkan peruntukan punca kuasa yang lebih jelas dan khusus berkaitan nafkah serta jagaan ibu bapa.
“Usaha ini bertujuan memastikan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menangani tuntutan melibatkan kebajikan ibu bapa yang uzur atau tidak berupaya dengan lebih berkesan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Selain itu, tambah Mohd Na’im, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga sedang melaksanakan semakan menyeluruh terhadap Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303].
Menurut beliau, semakan itu termasuk menilai keperluan untuk memperincikan peruntukan berkaitan nafkah ibu bapa agar lebih selari dengan prinsip hukum syarak, serta responsif kepada keperluan masyarakat dan realiti semasa masyarakat Islam di Malaysia.
Jelasnya, semakan itu membolehkan kerajaan menilai secara menyeluruh sama ada peruntukan sedia ada sudah memadai atau terdapat keperluan untuk penelitian lanjut.
“Pada masa ini, penyediaan draf undang-undang tersebut sedang digerakkan secara aktif melalui proses penelitian perundangan, libat urus bersama pihak berkepentingan, serta semakan teknikal bagi memastikan penggubalan tersebut benar-benar menepati keperluan masyarakat dan prinsip hukum syarak,” katanya. – MalaysiaGazette
















