LIKAS – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian tidak akan melindungi mana-mana individu yang dikaitkan dengan masalah integriti, termasuk pegawainya sendiri.
Oleh sebab itu, Anwar berkata, beliau menerima dan bersetuju apabila bekas setiausaha politiknya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Akin mahu melepaskan jawatan selepas terkait dengan isu pengeluaran surat sokongan bagi kontraktor dalam sebuah projek hospital yang tular baru-baru ini.
“Bila beliau kata nak letak jawatan, saya setuju, saya terima. Kemudian SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) siasat,” katanya ketika berucap pada program Grand Finale Dun Api-Api di sini, hari ini.
Dalam ucapannya itu, Anwar turut menempelak dakwaan pihak-pihak tertentu kononnya individu yang dekat dengan perdana menteri tidak boleh disiasat.
“Siapa cakap pegawai perdana menteri tak boleh siasat, siapa cakap macam tu? Ini bukan perdana menteri dulu, bila nak siasat lari ke Dubai, tahu tak siapa lari ke Dubai?
“Kalau nak siasat, siasatlah, pastikan transparent, pastikan profesional,” katanya lagi.

Anwar berkata, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang berintegriti kerana tiada siapa yang boleh melebihi undang-undang.
“Biarlah SPRM siasat, saya pun tak tahu apa-apa. Saya juga tidak setuju apa-apa, apa yang saya mahu SPRM siasat dengan telus,” katanya.
Jelas Anwar lagi, jika hasil siasatan mendapati Shamsul Iskandar didapati bersalah, teruskan.
“Biar mahkamah tentukan, jika mahkamah kata bersalah, hukumlah tapi jika tidak bersalah, Alhamdulillah.
“Itulah cara kita di Malaysia, janganlah banding saya dengan mereka. Tolonglah, tiada isu berkaitan perkara ini,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Anwar turut mempersoalkan mengenai wang yang dicuri berbilion-bilion.
“Curi duit senyap, sekarang nak cakap soal integriti.
“Boleh jadi pegawai Anwar, boleh jadi orang bekas menteri kewangan atau mana-mana Tun, Tan Sri, saya tak peduli, kamu curi duit, kamu mesti disiasat, mesti ditangkap.
“Kalau salah, masuk penjara,” ujarnya lagi sambil menegaskan beliau tidak ada kompromi mana-mana pihak yang melakukan kesalahan. – MalaysiaGazette
















