NIBONG TEBAL – Polis menumpaskan satu sindiket penipuan panggilan yang mensasarkan warga Jepun selepas menahan 18 individu dalam serbuan ke atas dua banglo yang dijadikan pusat operasi di Simpang Ampat di sini, pada 20 November lalu.
Serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Pulau Pinang itu membawa kepada penahanan 13 lelaki dan seorang wanita warga Jepun serta empat lelaki warga China berusia antara 25 hingga 51 tahun.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, siasatan awal mendapati semua suspek mengaku bekerja sebagai operator pusat panggilan sejak tiga bulan lalu dengan menerima gaji antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan dan menyasarkan rakyat Jepun.
“Sindiket itu beroperasi menggunakan aplikasi Telegram bagi mendapatkan maklumat mangsa dan memperdayakan mereka dengan menyamar sebagai polis Jepun.
“Mereka turut menggunakan aplikasi Go (Japan) dalam talian bagi urusan transaksi kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, dalam serbuan di banglo pertama, polis merampas 24 telefon bimbit jenama Furter, lapan iPad, lima papan kekunci nombor, 11 skrip penipuan berbahasa Jepun dan satu papan putih jadual tugas.
“Serbuan di banglo kedua pula membawa kepada sitaan tiga komputer riba, 25 telefon bimbit, lima iPad, dua walkie-talkie, 14 skrip berbahasa Jepun, dua kunci rumah dan tiga alat kawalan pintu pagar.
“Kesemua suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















