Foto: FB APM Negeri Terengganu

 

KUALA LUMPUR – Seramai 4,458 mangsa daripada 1,350 buah keluarga ditempatkan di 66 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu setakat pagi ini, susulan bencana banjir dan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hujan lebat dijangka berterusan di negeri itu susulan kesan Ribut Tropika Senyar yang kini sedang melanda beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Ujarnya, meskipun ramalan menunjukkan Terengganu tidak terjejas secara langsung dengan ribut itu, namun beliau menyeru semua pihak agar terus berwaspada dan peka terhadap perubahan cuaca semasa.

“Marilah kita berdoa agar negeri dan negara kita dijauhi daripada segala bentuk musibah dan diberikan perlindungan oleh Allah SWT.

“Orang ramai turut dinasihatkan untuk sentiasa bersiap sedia serta mengikuti maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat sejak beberapa hari lalu berikutan bencana banjir ekoran lebat yang melanda di tujuh daerah iaitu Marang; Besut; Dungun; Kuala Terengganu; Setiu; Kemaman dan Hulu Terengganu.

Berdasarkan portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Marang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu lebih 1,800 orang daripada 551 keluarga yang dipindahkan ke lapan PPS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast