Menteri Pendidikan Tinggi, Senator Datuk Seri Zambry Abd Kadir ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 12 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendesak Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden mengemukakan bukti kukuh berhubung dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Nor telah diaibkan dalam sebuah program di universiti tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, bukti tersebut penting bagi membolehkan satu siasatan dalaman dijalankan oleh pihak kementerian terhadap dakwaan berkenaan.

“Saya tidak dimaklumkan hal berkenaan sehinggalah Afnan (Ahli Parlimen Alor Setar) membangkitkan perkara ini dalam Parlimen.

“Saya mengharapkan beliau dapat mengemukakan bukti kepada saya bagi penyiasatan dapat dilakukan,” katanya hari ini.

Semalam di Dewan Rakyat, Afnan mendakwa terdapat video tular yang ditayangkan dalam satu majlis orientasi di sebuah universiti yang memberi gambaran negatif terhadap personaliti Muhammad Sanusi dengan menonjolkan seolah-olah beliau berakhlak buruk.

Afnan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar dalam kalangan penuntut universiti serta melabelkannya sebagai pendekatan politik kuno dan lapuk yang tidak sepatutnya berlaku dalam institusi pengajian tinggi.

Mengulas lanjut, Zambry menegaskan pihak kementeriannya tidak membenarkan mana-mana pihak di universiti tempatan mengkritik atau mengaibkan peribadi pemimpin dalam program rasmi yang melibatkan pelajar.

“Adalah tidak wajar ketika program orientasi, tindakan memburukkan peribadi atau individu dibuat secara terbuka. Pihak KPT dan universiti sentiasa menekankan soal adab ketika kita menyampaikan pandangan dan berbeza pendapat.

“Walau bagaimanapun, pihak KPT akan mendapatkan laporan dari universiti yang terbabit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast