KUALA LUMPUR – Peguam Zaid Malek mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan ‘pencerobohan paksa’ ke rumah ahli perniagaan Albert Tei sebelum menahan serta menggari anak guamnya itu hari ini
Dakwa Zaid, beliau tiba di kediaman Albert di Puchong itu namun pegawai SPRM dan anggota polis yang berada di lokasi didakwa tidak membenarkannya masuk atau bertemu ahli perniagaan itu.
“Tiada seorang pun pegawai memperkenalkan diri. Kegagalan untuk mengenal pasti diri adalah angkuh dan menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Zaid berkata pegawai hanya bercakap dengannya selepas beliau mengambil gambar kejadian dan mendakwa mereka turut meminta untuk melihat telefonnya bagi memeriksa gambar yang dirakam.
Beliau berkata, anak guamnya kemudian dibawa keluar dalam keadaan bergari sambil dikelilingi beberapa pegawai bersenjata ‘memakai balaclava’ – tindakan yang disifatkannya sebagai keterlaluan.
“Mereka seolah-olah menangkap seorang pengganas. Pegawai-pegawai itu enggan memperkenalkan diri atau menyatakan ke mana Albert dibawa. Saya sendiri tidak pasti sama ada mereka polis atau pegawai SPRM,” ujarnya.
Beliau menegaskan, tindakan ini sangat mengejutkan apabila seorang pemberi maklumat atau pendedah rasuah ditahan sebegini, sedangkan Datuk Seri Shamsul Iskandar, individu yang dilaporkan tidak dikenakan sebarang tindakan setakat ini.
Lantaran itu, Zaid mendakwa tindakan tersebut melanggar hak perlembagaan Albert untuk mendapatkan proses keadilan serta hak bertemu peguam. – MalaysiaGazette
















Perghhh siap gari! Patut yg digari tu suspek iaitu Samsul Iskandar.. dan Albert Tei ni dilindungi sbg saksi mcm Jasmine Loo.. dah terbalik plak