KUALA LUMPUR – Dagangan di pasaran derivatif Bursa Malaysia telah dihentikan selepas jam 10.36 pagi hari ini disebabkan gangguan sistem Globex.
Globex ialah platform dagangan elektronik milik Chicago Mercantile Exchange (CME) Group yang memudahkan dagangan derivatif global.
Sehubungan itu, semua produk derivatif Bursa Malaysia yang didagangkan di Globex terjejas.
“Bursa Malaysia sedang menguruskan situasi ini secara aktif dan bekerjasama dengan CME Group untuk memulihkan perkhidmatan secepat mungkin. Keutamaan kami adalah untuk meminimumkan kesan dan memastikan integriti pasaran.
“Kami akan terus memberikan maklumat terkini kepada semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette
















