KUALA LUMPUR – Seorang janda berusia lingkungan 40-an sempat mencapai selimut untuk menutup tubuhnya ketika pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyerbu sebuah inap desa semalam.
“Dalam operasi pencegahan maksiat kira-kira 10 pagi itu, wanita berkenaan ditemukan bersembunyi di dalam tandas, hanya berselimut manakala seorang lelaki warga emas berusia 60-an ditemui di ruang bilik inap desa tersebut.
“Pemeriksaan dilakukan dan seorang lelaki warga emas membuka pintu. Ketika ditanya, dia mendakwa bersendirian namun pegawai kami mengesyaki ada individu lain berada di dalam,” katanya dalam kenyataan.
Pemeriksaan lanjut menemui pintu tandas berkunci dari dalam sebelum seorang wanita ditemukan dalam keadaan hanya berselimut.
Siasatan awal mendapati lelaki itu masih berstatus suami dan sudah mempunyai cucu manakala wanita terbabit ialah janda yang pernah berkahwin dua kali.
Mereka juga mengakui saling mengenali kerana tinggal berjiran namun kediaman lelaki itu terletak sekitar 30 kilometer dari inap desa berkenaan.
Jelas JAINJ, pasangan itu mendaftar masuk sekitar 9.30 pagi dan ditahan kira-kira 30 minit kemudian.
“Lelaki tersebut memberi alasan mereka berada di situ untuk berbincang mengenai urusan perniagaan selain menyatakan hasrat mengambil wanita itu sebagai isteri kedua tetapi terhalang oleh beberapa kekangan.
“Pasangan berkenaan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997,” katanya. – MalaysiaGazette















