GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengingatkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar tidak terburu-buru meraikan penemuan unsur nadir bumi (REE) yang dianggarkan bernilai RM87 bilion di negeri itu, kerana risiko alam sekitar dan kesihatan jauh lebih besar daripada potensi keuntungannya.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, CAP sejak dahulu menentang sebarang bentuk perlombongan nadir bumi tanpa mengira teknologi atau kaedah digunakan, memandangkan impaknya yang boleh merosakkan ekosistem serta mengancam komuniti setempat.
“Malaysia mempunyai sejarah hitam melibatkan sisa berbahaya akibat industri tersebut, contohnya kes Bukit Merah Asian Rare Earth berhampiran Ipoh dan ia tidak boleh dibiarkan berulang.
“Laporan Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) menunjukkan bahawa penghasilan satu tan REE menghasilkan kira-kira 2,000 tan sisa toksik, termasuk 75 meter padu air sisa serta satu tan sisa radioaktif.
“Jadi, penemuan REE di Pulau Pinang menimbulkan kebimbangan lebih besar memandangkan negeri itu kecil dan berkemungkinan besar depositnya berada dalam kawasan sensitif alam sekitar atau berhampiran komuniti Orang Asli dan penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah Mohideen, walaupun perlombongan menggunakan kaedah in-situ leaching, namun masih memerlukan pembersihan kawasan bervegetasi dan berisiko mencemarkan air bawah tanah.
“Penggunaan ammonium sulfat sebagai bahan pelindian, boleh menyebabkan pencemaran berpanjangan walaupun operasi perlombongan telah dihentikan, selain meningkatkan penghasilan hidrogen sulfida yang amat toksik kepada organisma akuatik dan tumbuhan.
“Selain itu, kerajaan belum mengemukakan pelan terperinci untuk mengurus sisa radioaktif jangka panjang yang bakal terhasil termasuk lokasi pelupusan serta pihak yang akan menguruskan sisa itu.
“Syarikat perlombongan akan datang dan pergi, manakala rakyat dan pembayar cukailah yang akhirnya menanggung akibat industri tersebut,” katanya.
Menurut Mohideen, kerajaan perlu mempunyai pandangan jauh dan tidak hanya memikirkan keuntungan jangka pendek kerana kos kerosakan alam sekitar adalah tidak boleh dipulihkan.
Fokus kerajaan, tegasnya, mesti beralih kepada pembangunan mampan serta perlindungan ekosistem dan komuniti.
“CAP dan SAM turut mengingatkan bahawa kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan tidak wajar ‘dibutakan’ dengan angka keuntungan bernilai berbilion atau bertrilion ringgit daripada industri nadir bumi.
Sebelum ini, Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoomemaklumkan di Dewan Undangan Negeri bahawa Jabatan Mineral dan Geosains telah menemukan deposit REE bukan radioaktif di Teluk Bahang, Balik Pulau, Bukit Mertajam dan Bukit Panchorberjumlah kira-kira 1.7 juta tan dengan nilai hampir RM1 bilion. – MalaysiaGazette















