Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan mengapa masih ada anggota polis berpangkat rendah yang menerima gaji permulaan sebanyak RM1,500 sebulan.

Sedangkan, kata beliau, kerajaan sebelum ini menetapkan gaji minimum seluruh negara ialah RM1,700 sebulan.

Jelasnya, beliau mengiktiraf jawapan yang diberikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkenaan pelbagai elaun, peruntukan dan sumbangan yang disediakan kepada anggota polis berpangkat rendah di sebalik isu gaji permulaan tersebut.

Namun, tegasnya, pengiraan gaji tidak wajar dicampur elaun kerana elaun adalah perkara yang tidak tetap.

“Anggota polis berpangkat rendah selalu menjadi frontliner (barisan hadapan), baik dalam proses siasatan, kawalan keselamatan, pengurusan bencana, dan lain-lain yang melibatkan pihak polis.

“Peranan mereka besar daan kerajaan harus pastikan bahawa peranan mereka dihargai,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Wan Saiful menggesa kerajaan menyemak semula jumlah elaun-elaun yang diberikan dan kadar kenaikan gaji tahunan anggota polis di negara ini.

Dalam masa sama, beliau menyeru kerajaan memastikan keselarasan gaji permulaan polis dengan perintah gaji minima semasa.

“Malahan, prinsip keselarasan yang sama juga mesti diaplikasi kepada semua penjawat awam di semua kementerian, jabatan dan agensi,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast