KOTA KINABALU- Suasana politik Sabah semakin panas menjelang selekoh akhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 apabila Ketua Bahagian Parti Warisan (Warisan) Sipitang, Abd Aziz Taip mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Abd Aziz kini memilih untuk berhijrah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Keputusan drastik Abd Aziz yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan itu dibuat selepas menilai secara menyeluruh hala tuju masa depan Sabah serta realiti politik semasa.
“Saya ingin mengumumkan secara rasmi telah membuat keputusan untuk melepaskan semua jawatan dalam Warisan berkuat kuasa serta-merta.

“Keputusan ini adalah berat, namun perlu dibuat segera demi kepentingan rakyat Sabah yang saya cintai,” tegasnya dalam sidang akhbar.
Abd Aziz berkata, keputusan berhijrah ini diambil bersandarkan dua perkara utama.
“Yang paling signifikan ialah keyakinan penuh saya terhadap komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya dalam isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
“Saya yakin dengan usaha bersungguh-sungguh Kerajaan Perpaduan dalam mengembalikan hak Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) membuktikan perjuangan Sabah kini berada pada landasan betul, berdasarkan tindakan, bukan sekadar slogan dan janji kosong,” katanya.
Sebab kedua adalah kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Saya khuatir jika Warisan kembali memerintah, Sabah berisiko mengalami kemunduran yang lebih besar kerana keputusan yang dibuat banyak berunsur politik balas dendam, bukan berpaksi pada masa depan Sabah.
“Rakyat Sabah berhak untuk maju ke hadapan, bukan kembali ke belakang,” katanya.
Abd Aziz melihat PKR sebagai sebuah platform perjuangan yang lebih jelas, terbuka, dan berwibawa dalam memperjuangkan hak Sabah secara realistik.
“Saya yakin kerjasama strategik antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan adalah satu-satunya jalan terbaik untuk mencapai perubahan sebenar.
“Saya optimis dengan Langkah ini juga akan membantu calon-calon PH, khususnya di DUN Sindumin bagi meraih kemenangan pada hari Sabtu ini. – MalaysiaGazette
















