SEOUL – Seorang pekerja yang dituduh “mencuri” snek bernilai kurang daripada satu dolar di Korea Selatan akhirnya dibebaskan selepas pertarungan undang-undang yang berlangsung hampir dua tahun.
Syarikat logistik tempat dia bekerja telah memfailkan tuntutan terhadapnya tahun lalu kerana mengambil sebiji Choco Pie — snek popular Korea Selatan dan sebiji mini kastard bernilai 1,050 won (AS$0.73) dari peti sejuk pejabat tahun lalu.
Menganggap kesalahan itu kecil, pihak pendakwa telah memfailkan pertuduhan, tetapi pemandu itu menegaskan bahawa dia tidak bersalah dan meminta perbicaraan penuh.
Mahkamah kemudian mendapati dia bersalah dan mengenakan denda 50,000 won, kira-kira 50 kali ganda daripada nilai makanan yang dimakannya.
Namun pekerja itu terus membuat rayuan, dan akhirnya memenangi prosiding undang-undang tersebut.
“Defendan telah dibebaskan,” kata seorang pegawai Mahkamah Daerah Jeonju.
Syarikat berkenaan berhujah, tertuduh hanya pekerja subkontrak dan tidak dibenarkan membuka peti sejuk tanpa kebenaran.
Namun mahkamah rayuan dalam keputusan akhirnya berkata, para pemandu sebenarnya diberitahu “mereka boleh makan snek di pejabat, dan kakitangan keselamatan juga boleh menikmati makan snek ketika syif malam”.
Dengan 39 lagi pekerja subkontrak memberikan kenyataan bahawa mereka juga makan snek dari peti sejuk itu, mahkamah rayuan memutuskan “adalah sukar untuk menyimpulkan defendan mempunyai niat untuk mencuri”.
Peguam defendan memberitahu, pemandu berkenaan “berasa sangat malu kerana kes itu diheret sampai ke perbicaraan,” kerana “dia hanya lapar pada awal pagi dan makan Choco Pie”.
“Terdapat pelbagai dugaan dan cabaran sepanjang proses ini, tetapi saya sangat bersyukur dengan keputusan ini, dan saya percaya defendan juga merasakannya,” kata peguam tersebut.
Kes ini mencetuskan kemarahan orang ramai di Korea Selatan, dengan kesatuan pekerja membandingkan pekerja itu dengan Jean Valjean, watak utama novel klasik Perancis ‘Les Miserables’ yang dipenjarakan kerana mencuri roti untuk memberi makan adik-beradiknya. – Agensi
















