PUTRAJAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) mempercepat proses pendakwaan terhadap suspek-suspek utama sindiket pelaburan mata wang kripto Gigamax.
Ia selepas tiga individu yang dikehendaki berjaya ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) beberapa bulan lalu.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, walaupun PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman (JSJK) mengesahkan kejayaan menahan suspek-suspek terbabit namun mendakwa sehingga kini belum ada sebarang pertuduhan difailkan.
“Tangkapan terhadap suspek-suspek utama telah berjaya dilakukan. Namun sehingga hari ini, tiada pertuduhan yang dibuat.
“Kami memohon perhatian Jabatan Peguam Negara dan berharap pertuduhan dapat dilakukan pada kadar segera,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas hadir bersama sekumpulan mangsa ke AGC bagi menyerahkan surat permohonan menggesa tindakan segera diambil terhadap dalang sindiket tersebut.

Menurutnya, kelewatan proses pendakwaan menimbulkan keresahan dalam kalangan mangsa terutama selepas menunggu perkembangan sejak sidang media MHO mengenai kes Gigamax pada Mei tahun lepas.
Hishamuddin menjelaskan, kesemua mangsa menanggung kerugian besar dengan jumlah keseluruhan mencecah RM4,864,861.12 hasil pelaburan dalam skim kripto Gigamax yang kini disiasat sebagai penipuan bersindiket.
“Mangsa-mangsa amat berharap tindakan tegas dapat diambil terhadap semua individu yang terlibat dalam sindiket ini demi menegakkan keadilan dan memulihkan keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan negara,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada PDRM atas komitmen menahan suspek utama namun menekankan keadilan hanya dapat dicapai apabila proses pendakwaan diselesaikan. -MalaysiaGazette
















