Polis merampas merampas dua unit komputer riba dan 19 telefon bimbit dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan call centre di Triang.

BERA – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket panggilan pusat (call centre) penipuan pelaburan yang menyasarkan mangsa di China menerusi serbuan di sebuah hotel di Triang di sini semalam.

Ketua Polis Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, seramai lapan warga China terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita ditahan dalam serbuan pukul 2.15 petang.

Menurutnya serbuan itu dilakukan hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera.

”Hasil serbuan di sebuah hotel membawa kepada penahanan lapan warga China terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita berusia antara 28 hingga 39 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai berperanan sebagai operator call centre sejak awal Oktober lalu yang menyasarkan mangsa di China,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas dua unit komputer riba dan 19 telefon bimbit dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan berkenaan.

Difahamkan sindiket menggunakan aplikasi Telegram untuk mendapatkan maklumat mangsa sebelum memperdaya mereka menyertai skim pelaburan palsu.

Kesemua suspek kini direman hingga 1 Disember ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana penipuan dan pakatan jahat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast