KOTA KINABALU – Peranan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam membangunkan prasarana luar bandar termasuk di Sabah sememangnya tidak dapat disangkal.
Semuanya demi memastikan rakyat menikmati kemudahan asas yang moden dan selamat, setara dengan kawasan bandar.
Jika diimbas peruntukan pada tahun 2024, Sabah menerima peruntukan sebanyak RM1.402 bilion bagi pelaksanaan 324 projek prasarana luar bandar.
Ia diteruskan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM1.466 bilion yang melibatkan 327 projek berskala besar, di mana RM1.269 bilion telah dibelanjakan setakat 17 November 2025.
Prasarana luar bandar bukan sahaja meningkatkan mobiliti dan akses asas, malah membawa perubahan ketara dalam kehidupan rakyat.

Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) merupakan salah satu usaha KKDW untuk membantu golongan kurang berkemampuan.
PPRS merupakan program pembasmian kemiskinan luar bandar yang menyediakan bantuan bina baharu atau pembaikan rumah kepada golongan miskin dan miskin tegar.
Tujuannya untuk golongan ini memiliki kediaman yang selamat dan selesa seterusnya memastikan kumpulan sasar ini dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik.
Penerima PPRS di Kampung Sungai Api, Tenom, Alfredlee Angin dan isterinya Kulita @ Aeyta Kaluhu berkongsi rasa terharu dengan bantuan yang diterima.

“Kami sangat gembira kerana permohonan kami untuk memiliki rumah di atas tanah sendiri berjaya.
“Kami ini bukan orang senang, tetapi kerajaan persekutuan sudah mudahkan kami, jadi dapatlah kami tinggal, lagi-lagi dah nak sambut Krismas,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Alfredlee yang bekerja sebagai pembantu am ditemui di kediaman baharu mereka yang dilengkapi tiga bilik tidur dan satu bilik air.
“Tahun lalu kami dapat panggilan yang mengatakan permohonan kami diterima.
“Selepas itu, pihak kontraktor datang tengok tanah, tak sampai setahun rumah kami siap,” katanya yang tinggal bertiga bersama anak bongsu mereka.

Jelasnya, kemudahan yang disalurkan kerajaan Persekutuan sangat-sangat meringankan beban mereka.
“Kami berharap usaha ini berterusan dan kerajaan persekutuan akan terus membantu lebih ramai orang untuk ada rumah sendiri.
“Terima kasih buat kerajaan khususnya KKDW membuatkan kami bertiga selesa dan tak perlu tinggal bersama ipar kami lagi,” katanya.
Usaha MalaysiaGazette mendekati penduduk di kampung lain juga turut mendapat reaksi positif daripada penduduk tempatan.

Bagi Hamram Majid, isu tiga serangkai seperti air, elektrik dan jalan semakin mendapat perhatian daripada kerajaan Persekutuan.
Katanya, dalam tempoh dua tahun ini keadaan di kampung yang didiaminya sudah semakin selesa.
“Tapi ia bukanlah drastik, Cuma sudah ada bantuan, orang kata biar sedikit tetapi berterusan.
“Isu jalan juga semakin baik, selain elektrik yang banyak kawasan sudah ada,” katanya.
Jelasnya, bantuan daripada kerajaan Persekutuan untuk memastikan kawasan luar bandar sama-sama mendapat manfaat harus dipuji.
“Kalau ada kemajuan kita cakap, kalau tak ada pun kita cakap.
“Sekarang kerajaan sudah bantu, cukup baik dan kami harap jangan berhenti, kena teruskan lagi,” katanya.

Seorang lagi penduduk di Kampung Baru Jumpa, Juliana Kapung berkata, masalah tiga serangkai seperti elektrik, jalan dan air semakin mendapat perhatian di kawasannya.
“Saya nak ucap terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang sentiasa turun padang memastikan semua pekara ini dapat diatasi.
“Jalan raya sudah ada penambahbaikan, masalah air bersih juga ada dan kita harapkan semua kawasan akan ada bekalan elektrik,” katanya.
Katanya lagi, usaha kerajaan semakin baik dan prihatin terhadap penduduk di kawasan pedalaman.
“Terima kasih Kerajaan Persekutuan dan harapan saya usaha ini akan berterusan lagi buat kami di luar bandar,” katanya.
Usaha KKDW menyantuni mereka yang berada di luar bandar tidak pernah berhenti. Rata-rata berpuas hati dan berharap usaha ini akan berterusan.
KKDW membuktikan pembangunan luar bandar bukan lagi sekadar projek fizikal, tetapi pelaburan masa depan rakyat. – MalaysiaGazette
Video Berkaitan
















