Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Haji Ahmad Shah mengingatkan rakyat di negeri ini agar sentiasa berwaspada semasa musim tengkujuh yang kini melanda negara.

Baginda bertitah, semua rakyat terutamanya di kawasan berisiko perlu terus berwaspada dengan keadaan semasa dan mengambil berat terhadap keselamatan diri serta keluarga.

“Saya ingin menasihatkan rakyat terutamanya di kawasan berisiko banjir sentiasa berwaspada dengan keadaan di musim tengkujuh ini dengan hujan lebat yang turun tanpa henti.

“Ibu bapa atau penjaga, jagalah anak-anak, cucu masing-masing agar tidak berlaku perkara-perkara yang tidak dingini pada musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.

“Dengarlah arahan-arahan daripada pihak berkuasa supaya berpindah atau tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) demi keselamatan diri, ” titah baginda.

Pengguna jalan raya juga dinasihatkan berhati-hati ketika memandu atau menunggang motosikal.

Baginda betitah, keadaan hujan menambah risiko bahaya ketika berada di atas jalan raya dan berharap semua sentiasa selamat di dalam perjalanan menuju destinasi.

Sementara itu Sultan Pahang bertitah agar semua PPS dapat dijaga dengan baik dan sentiasa mengutamakan aspek kebersihan.

“Saya berharap agar semua PPS di negeri ini berada dalam keadaan bersih dan teratur. Sema pihak terlibat perlu bekerjasama, jagalah kebersihan PPS termasuk ketika menggunakan tandas yang menjadi kemudahan bersama,” titah baginda.

Dalam pada itu, peringatan turut diberikan kepada semua rakyat berikutan amaran kesan Ribut Tropika Senyar yang terbentuk di Selat Melaka bakal melanda beberapa negeri Pantai Barat dan Tengah, termasuk Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.

“la adalah satu situasi yang jarang berlaku, malah hujan lebat dalam tempoh lama boleh menyebabkan kita semua berdepan risiko banjir kilat, pokok tumbang dan tanah runtuh yang mungkin berlaku di mana-mana sahaja pada bila-bila masa.

“Saya minta agar kita semua terus berhati-hati dan sentiasa berdoa agar dijauhi dari segala bala bencana dan kemalangan, teruskanlah melakukan solat hajat di Masjid dan di rumah” titah Paduka Baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast