Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cubaan tiga lelaki warga Jepun menyeludup masuk dadah disyaki bunga ganja seberat 43.36 kilogram bernilai lebih RM4.2 juta gagal, selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 November lepas.

Pengarah Kastam KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, penahanan tiga lelaki berumur 19 hingga 42 tahun itu dibuat selepas enam bagasi milik mereka diimbas dan pemeriksaan menemukan beberapa bungkusan plastik yang mengandungi tumbuhan disyaki dadah jenis bunga ganja.

“Pemeriksaan mendapati bunga ganja itu disorokkan di dalam bungkusan makanan kering di dalam enam bagasi milik lelaki terbabit.

“Barang kes seterusnya diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Kastam KLIA untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli bekata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan kesalahan akan dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Justeru, beliau menggesa orang ramai untuk membantu memerangi jenayah penyeludupan dan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan, serta menyalurkan maklumat berkaitan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast