Keadaan rumah yang di tenggelami banjir ketika tinjauaan udara lensa Malaysia Gazette di Kampung Bangi Lama, Selangor. (GAMBAR FAIL).

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan peningkatan bilangan mangsa banjir di beberapa daerah di negeri itu berpunca daripada peralihan air dari kawasan utara ke Kuala Langat dan Sepang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, fenomena itu menyebabkan beberapa kawasan yang sebelum ini surut kembali dinaiki air sekali gus menambah jumlah mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Sehingga saat ini, seramai 4,463 mangsa sedang ditempatkan di 33 Pusat Pemindahan Sementara di 5 daerah seluruh negeri, iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

“Jumlah penduduk yang terkesan telah meningkat disebabkan peralihan air dari kawasan utara Selangor ke Kuala Langat dan Sepang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirudin turut memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor telah memasang empat pam di Kuala Selangor untuk mempercepatkan peralihan air dan enam unit pam tambahan akan dipasang esok bagi mengurangkan risiko bertakung lama.

“Kerajaan negeri sedang menyusun seramai 5,000 sukarelawan untuk digerakkan dalam tempoh 24 jam selepas air mula surut bagi membantu pembersihan rumah mangsa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin memaklumkan pihaknya menerima laporan insiden kereta terperangkap banjir di Sepang berhampiran KLIA yang melibatkan empat mangsa termasuk seorang anggota polis yang masih hilang.

“Kerajaan negeri akan berhubung dengan keluarga mangsa untuk mengemaskini proses SAR dan bersedia membantu sebaik mungkin, dan saya mendoakan agar mangsa ini dapat dicari dan diselamatkan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, bagi memastikan kesiapsiagaan penuh, cuti semua pegawai peringkat negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan dibekukan sehingga 15 Disember 2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast