TUARAN – Pengundi di Sabah mula keluar untuk mengundi seawal 7 pagi untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette di Sekolah Kebangsaan Serusup, di sini mendapati, orang ramai mula memenuhi pusat pengundian itu lebih awal walaupun mereka hanya dibenarkan untuk mengundi bermula jam 7.30 pagi tadi.
Bagi pengundi muda, Saidatul Naziha Rahman, 29, dari Kampung Serusup, dia tidak menafikan agak teruja malah datang lebih awal ke pusat mengundi susulan persaingan sengit di kerusi N12 Sulaman kali ini.
“Seawal jam 8.30 pagi kami sudah keluar rumah. Tambahan pula laluan di tempat kami memang tidak sesak, tidak ramai pengundi datang lagi.
“Walaupun sudah kali ini keempat saya mengundi, kali ini lebih teruja sebab DUN kami (Sulaman) pertandingannya sengit, jadi kami mahu pilih yang terbaik daripada yang terbaik.
“Anak muda kami masih mahu yang lama (pemimpin) calon nombor satu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Sekolah Kebangsaan Serusup, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRN17 Sabah N.12 Sulaman, Ibrahim Terki mengesahkan, Dewan Undangan Negeri (DUN) itu menyaksikan pertandingan lima penjuru.
Selain Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selaku calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau dicabar empat calon lain termasuk Dr Shahnon Rizal Thajuddin (BN), Mokhtar Hussin (Warisan); Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah) serta Tiaminah @ Siti Aminah Ele (PN).
Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada September 2020, Hajiji menang di DUN Sulaman yang disandang sejak 1990 dengan majoriti 3,099 undi.
Ketika itu, Hajiji merupakan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Sabah (PN).

Selain itu, bagi seorang pengundi muda, Nor Azmina Irdina Jamlin, 24, dari Kg Serusup, dia mengharapkan wakil rakyat dan kerajaan negeri baharu dapat meneruskan bantuan pendidikan kepada anak muda.
“Kerajaan sebelum ini sudah banyak memberikan biasiswa kepada anak muda, malah saya sendiri merasainya juga daripada kerajaan sebelum ini.
“Saya harap bantuan pendidikan ini boleh diteruskan demi memenuhi aspirasi untuk anak muda, kerana kami hanya mahukan bantuan pelajaran sahaja.
“Mungkin masih ramai anak muda yang agak sedikit susah untuk sambung pelajaran, anak muda agak sesak (susah),” katanya.
Bagi Nur Farhana Nor Zaim, 27, dari Kg Serusup, dia mengharapkan sesiapa pun yang menjadi wakil rakyat mahu kerajaan negeri dapat merealisasikan kehendak rakyat khususnya meningkatkan kualiti pengangkutan awam.
“Saya mahu kerajaan baharu dapat menambah mutu perkhidmatan pengangkutan awam untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Sabah,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang warga emas, Ros Mukai, 63, walaupun dia tidak lagi menetap di Kg Serusup, namun berharap wakil rakyat sebelum ini terus diberikan mandat dan membantu penduduk kawasan bandar itu.
“Mudah-mudahan kita dapat kemenangan saya berdoa kita dapat lebih dari itu lagi.
“Saya mahu bantuan (kebajikan) sebab saya sudah 63 (warga emas) saya akan mohon bantuan apa yang diperlukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















