Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR – DAP menerima dan menghormati keputusan para pengundi di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang gagal dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah hari ini.

Setiausaha agungnya, Anthony Loke berkata, pucuk pimpinan DAP akan mengambil iktibar daripada keputusan itu dan menilai semula segala kelemahan serta berusaha memenangi semula sokongan rakyat pada pilihan raya akan datang.

Dalam masa sama, tambahnya, DAP mengucapkan tahniah kepada parti dan calon yang telah diberi mandat oleh pengundi di kawasan-kawasan tersebut.

“Sebagai Setiausaha Agung parti, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap segala kelemahan dan kegagalan DAP memenangi sebarang kerusi dalam Pilihanraya Sabah yang ke-17 ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, tambah Anthony, DAP Sabah masih mempunyai dua wakil di peringkat Parlimen dan kedua-dua Ahli Parlimen DAP berkenaan akan melipatgandakan usaha dan gerak kerja mereka di kawasan Kota Kinabalu dan Sandakan.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat pukul 8.30 malam ini, DAP tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandingi parti itu pada PRN-17 Sabah iaitu masing-masing di DUN Elopura; Sri Tanjung; Luyang; Likas; Kapayan; Tanjong Papat; Tanjung Aru dan Kemabong.

Pada PRN lalu, DAP menang enam daripada tujuh kerusi yang ditandingi, iaitu Luyang, Likas, Kapayan, Sri Tanjong, Elopura dan Tanjong Papat.

Dengan kekalahan ini menyaksikan buat pertama kali DAP tidak akan mempunyai wakil dalam DUN Sabah sejak 2004. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast