KARAMBUNAI – Dua calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Karambunai telah menjalankan tanggungjawab mereka mengundi di SMK Bandaraya dekat sini pagi ini.
Mereka adalah calon Barisan Nasional (BN) Datuk Yaakubah Khan dan Datuk Arshad Idris dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Arshad tiba pada jam 9.50 pagi diikuti Yaakubah pada jam 10.30 pagi.
Gembira dengan proses pengundian hari ini, kedua-duanya berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mengundi pada hari ini.
Bagi Arshad, keadaan cuaca yang tidak menentu pada sebelah petang harus dimanfaatkan pengundi pada waktu pagi.
“Saya gembira melihat ramai yang keluar mengundi, jangan tunggu petang kerana factor cuaca.
“Saya juga berpuas hati dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang cekap mengendalikan proses hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Pendapat yang sama turut diakui Yaakubah dan seronok dapat mengundi di sekolah lamanya.

“Hari ini saya datang semua di sini dan melihat ramai yang keluar pada awal pagi.
“Walaupun ada yang mengadu mengenai masalah petugas SPR pada waktu pagi, tetapi perkara itu segera diatasi.
“Saya ucapkan terima kasih kepada SPR di atas kecekapan menangani setiap masalah dah menjadi pemudah cara orang ramai mengundi hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette















