KOTA KINABALU – Penantian mengenai pembentukan Kerajaan Negeri Sabah pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 terjawab apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan pihaknya sedang bekerjasama dengan Presiden parti Gabungan Rakyat Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pada ketika ini, Pengarah Operasi PKR, Datuk Seri Amirudin Saari bersama-sama Hajiji dalam proses membentuk kerajaan negeri.
“Saya dimaklumkan jumlah sudah cukup malam ini. Pakatan Harapan berbesar hati menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah,” katanya dalam satu sidang media hari ini berhubung keputusan PRN Sabah kali ke-17 di sini hari ini.

Sidang media turut dihadiri Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Naib Presiden Amanah, Adly Zahari.
Dalam pada itu, sidang media itu turut mengulas perkembangan semasa termasuk kekalahan DAP pada PRN kali ini.
“Kita terima segala kelemahan dan melihat ia sebagai satu pengajaran. “Pada masa sama, kita menerima keputusan pengundi Sabah dan akan perbaiki mana-mana kelemahan kami,” katanya.
Pengesahan itu sekali gus memberi isyarat jelas bahawa Sabah akan mempunyai kerajaan negeri yang stabil dalam masa terdekat, fokus kepada agenda pembangunan seperti yang dimahukan oleh rakyat.
Ia akan dapat diterjemahkan apabila Sabah akan lebih rapat dengan kerajaan Persekutuan. – MalaysiaGazette
















