Oleh: Dr. Yohan Kurniawan
DALAM dunia kesihatan moden yang dipenuhi pendekatan klinikal dan rawatan berasaskan teknologi, terdapat satu bentuk intervensi yang perlu mendapat perhatian kerana sifatnya yang semula jadi, murah, dan memberi kesan jangka panjang—terapi alam berasaskan hutan. Di Malaysia, potensi hutan sebagai sumber terapi untuk kanak-kanak istimewa seperti kanak-kanak buta, pekak, autisme, Sindrom Down, dan pelbagai keperluan khas lain masih kurang diangkat sebagai alternatif rawatan inklusif.
Hutan bukan sekadar kawasan hijau; ia adalah ruang yang kaya dengan elemen semula jadi yang berupaya merangsang pelbagai aspek perkembangan kanak-kanak, termasuk sensori, kognitif, emosi, motor, dan sosial. Sumber-sumber alamiah di dalam hutan merupakan aset asli yang tidak ternilai. Bunyi rintik air, geseran dedaunan, kicauan burung, dan hembusan angin bukan sahaja merangsang deria pendengaran kanak-kanak pekak secara getaran, malah membantu memperkayakan pengalaman sensori kanak-kanak autisme yang sering bergelut dengan rangsangan yang berlebihan di persekitaran bandar.
Kanak-kanak buta pula memperoleh manfaat melalui stimulasi taktil—menyentuh tekstur kulit pokok, merasai kelembutan lumut, atau menyusuri akar-akar yang terbentang sebagai laluan semula jadi, menikmati bunyi air terjun, dan merasai sejuknya air Sungai dalam hutan. Setiap permukaan dan bunyi ini memberikan makna, mencipta pengalaman pembelajaran yang mustahil diperoleh di dalam bilik darjah atau pusat rawatan tertutup.
Bagi kanak-kanak Sindrom Down atau kanak-kanak yang lambat belajar, suasana hutan yang tenang dapat menstabilkan emosi, mengurangkan keresahan, dan meningkatkan motivasi untuk berinteraksi dengan persekitaran. Aktiviti mudah seperti berjalan di denai, memegang ranting, mengumpul dedaunan, atau mengamati serangga dapat membantu mereka meningkatkan kemahiran motor halus dan kasar. Ini semua berlaku secara semula jadi, tanpa tekanan seperti yang sering mereka hadapi dalam sesi terapi formal. Lebih penting, hutan menyediakan peluang untuk mereka bergerak bebas, merasa dihargai, dan mengembangkan autonomi kendiri.
Keberkesanan terapi hutan juga sangat berkaitan dengan aspek kos sara hidup keluarga B40 yang mempunyai anak istimewa. Dalam banyak keadaan, keluarga berpendapatan rendah berdepan kesukaran membayar kos terapi profesional seperti terapi carakerja, terapi pertuturan atau terapi tingkah laku yang boleh mencecah ratusan ringgit untuk setiap sesinya. Akses kepada rawatan percuma atau berkos rendah sangat terhad, terutama di kawasan luar bandar. Dengan menggunakan hutan sebagai ruang rawatan, beban kewangan yang ditanggung oleh keluarga B40 dapat dikurangkan secara signifikan.
Mereka tidak perlu membayar alat permainan terapeutik yang mahal kerana elemen hutan itu sendiri—seperti batu, daun, air, dan tanah—sudah cukup untuk dijadikan bahan stimulasi. Selain itu, rawatan dalam hutan juga mengukuhkan hubungan keluarga. Anak dan ibu bapa boleh menjalani aktiviti bersama, mencipta memori positif, dan meningkatkan sokongan emosi antara satu sama lain. Kesempatan ini amat bermakna bagi keluarga yang selama ini terbeban dengan tekanan ekonomi dan tuntutan penjagaan anak istimewa. Ketika mereka berada di dalam hutan, ruang terapi itu bukan hanya untuk anak, tetapi juga menjadi ruang penyembuhan bagi ibu bapa—memberi masa untuk bernafas, meredakan tekanan dan merasakan ketenangan.
Dalam konteks negara, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia memainkan peranan yang amat penting dalam merealisasikan penggunaan hutan sebagai sarana terapi. Melalui dasar pemuliharaan hutan, pengurusan taman negeri dan pusat konservasi, kementerian berperanan memastikan kawasan hutan kekal terpelihara dan dapat diakses dengan selamat oleh masyarakat termasuk keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas.
Kementerian juga berpotensi bekerjasama dengan institusi pendidikan, pihak berkuasa tempatan, NGO dan pakar terapi untuk mewujudkan “Denai Terapi Istimewa” di beberapa kawasan hutan terpilih. Usaha ini bukan sahaja mampu memberi manfaat besar kepada kanak-kanak istimewa tetapi turut meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan hutan sebagai aset negara.
Lebih menarik, pendekatan terapi hutan menjadi lebih berkesan apabila disokong oleh penglibatan pakar dari pelbagai bidang. Pakar psikologi memainkan peranan penting dalam merancang modul intervensi berdasarkan keperluan emosi dan tingkah laku kanak-kanak, memastikan aktiviti yang dijalankan selari dengan aspek perkembangan mental kanak-kanak istimewa. Kaunselor pula membantu keluarga menangani tekanan psikologi yang dihadapi ketika membesarkan anak istimewa, sambil membimbing mereka memanfaatkan terapi alam
sebagai ruang pembinaan hubungan keluarga yang lebih positif.
Sementara itu, terapis carakerja sangat penting dalam memastikan setiap aktiviti mempunyai objektif yang jelas, khususnya bagi meningkatkan kemahiran motor, sensori integrasi dan kemampuan kendiri. Dengan penglibatan pakar-pakar ini, terapi hutan bukan sekadar berjalan di dalam hutan, tetapi menjadi intervensi profesional yang terancang, selamat dan memberi manfaat holistik.
Kesimpulannya, hutan bukan lagi sekadar ruang rekreasi tetapi sarana terapi yang berpotensi besar untuk membantu kanak-kanak istimewa mengembangkan potensi diri mereka secara holistik. Penggunaan sumber asli dalam hutan bukan sahaja menyokong perkembangan fizikal, emosi dan kognitif anak-anak ini, tetapi juga meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah. Dengan sokongan berterusan daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, usaha menjadikan hutan sebagai ruang terapi inklusif dapat
direalisasikan sebagai satu inisiatif kebangsaan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan generasi masa depan.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya















